PAS tumbangkan PH P. Pinang bukan angan-angan

PERMATANG PAUH: Hasrat PAS Pulau Pinang dan Gagasan Sejahtera bertanding 24 kerusi Dun, lapan parlimen untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang bukan angan-angan mat jenin.

Advertisement

Bahkan, PAS Pulau Pinang menghantar 19 calonnya bertanding kerusi Dun menunjukkan kekuatan jentera parti itu tidak mustahil mampu menembusi kemenangan di Pulau Pinang.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menegaskan PAS mempunyai jenteranya di 13 kawasan parlimen yang telah lama bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya.

Ujarnya, rakyat telah memerhatikan dua blok kerajaan, Umno BN dan PH yang telah mentadbir Pulau Pinang dilihat gagal memandu keselesaan kepada rakyat dengan timbulnya pelbagai kepincangan yang telah membebankan rakyat negeri ini.

“Kita masuk dengan keyakinan kita berikan tawaran bahtera penyelamat dalam keadaan dua blok ini yang sudah diketahui oleh rakyat bahawa blok Umno BN ini sudah dilihat oleh rakyat, bagaimana mereka memerintah sekian lama bagaimana sikap mereka terhadap rakyat dan umat Islam yang berada di negara ini.

“Begitu juga Pakatan Harapan,sudah dua penggal. Rakyat menjadi saksi dan melihat apa yang telah mereka lakukan di dalam negeri Pulau Pinang,” katanya dalam ceramah kelompok di Pengkalan Tambang di sini, malam tadi.

Tegasnya, PAS bukan kuda tunggangan sesiapa seperti yang didakwa musuh-musuh politik PAS.

Jelasnya, mereka yang menuduh PAS sebagai kuda tunggangan Umno mahupun DAP harus ingat bahawa DAP telah mendominasi Pulau Pinang tanpa berganjak dari 19 kerusinya.

“Hari ini kalau pergi ceramah depa (mereka), depa duk kata inilah, PAS jadi kuda tunggangan Umno, PAS jadi kuda tunggangan DAP, ampa (kamu) jadi kuda tunggangan siapa?

“Ampa kena ingat, DAP ada 19 kerusi mereka tidak akan berganjak.

“Hari itu adalah seorang wakil PKR katanya nak pertahan, tapi depa tak bagi kepada adik kecik depa.

“Tapi bila abang-abang besar depa berdehem lebih kurang saja. Bagi kat adik kecik tu. Nak tengok sapa dia, Pulau Pinang ini DAP dominasi ke dalam PH. Sekarang ini siapa jadi barua siapa?” katanya yang juga calon PAS di Dun Permatang Pasir. – HARAKAHDAILY 3/5/2018