Menang PAS, Islam akan dibetulkan persepsinya

SAYA tengok bukan Islam ramai yang salah faham tentang hukum Syariah. Mereka kena faham ia adalah sebahagian agama Islam. Jangan halang orang Islam nak mengamalkan agamanya.

Advertisement

Kebebasan mengamalkan agama lain bagi penganut agama bukan Islam adalah jaminan diberi oleh Perlembagaan bagi mengatasi kebimbangan bukan Islam bahawa Perlembagaan Malaysia memperuntukkan Agama Islam mempunyai kedudukan yang tertinggi dalam pelbagai peruntukan termasuklah sebagai agama bagi Persekutuan. 

Orang bukan Islam tidak boleh diganggu jika mereka mahu mengamalkan agama mereka. Jika bukan Islam tidak boleh diganggu, sudah tentulah penganut agama Islam lebih-lebih lagi tidak sepatutnya dihalang dari mengamalkan hukum Syariah Islam yang merupakan salah satu tiang seri kepada agama Islam itu sendiri sesuai dengan kedudukan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan.

Hukum Syariah pula hanya untuk orang Islam sahaja. Bukan Islam tidak ada kena mengena dan tidak terikat dengan hukum Syariah. Ia dijamin sekurang kurangnya pada 4 peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.

Salah faham dan kekeliruan timbul kerana kegiatan menyebarkan fitnah dan kekeliruan yang bertujuan menakut-nakutkan dan mewujudkan prasangka buruk, menimbulkan kebencian kepada usaha umat Islam mengamalkan agamanya. Label yang buruk misalnya Terrorist, Extremist, Taliban diberikan dan Islamofobia menjadi virus yang merosakkan persepsi bukan Islam kepada ajaran Islam. Ulama-ulama diperbesar segala isu yang boleh untuk memburukkan pandangan kepada tokoh-tokoh pejuang Islam.

Kita boleh atasi ini dengan menukar kerajaan BN sekarang dan menguasai media arus perdana yang sebenarnya berperanan membentuk, menjadi acuan minda masyarakat. Tv, radio, Jabatan Penerangan, rangkaian surat khabar cetak dan maya sepatutnya jika mahu sudah lama sepatutnya boleh betulkan salah faham bukan Islam ini. Tapi mereka sebaliknya menjadi ejen mengelirukan lagi masyarakat.

Drama tv jika pak lebai berkopiah, Muslimat yang bertudung labuh, diberi watak dalam drama tv sebagai orang yang jumud, kolot, busuk hati, pendengki, kasar tutur kata.

Jika Gagasan Sejahtera menang, Islam akan dibetulkan persepsinya. Tak sampai setahun, semua salah faham boleh dijernihkan. Tengok sajalah di zaman Tun Abdullah Badawi jadi Perdana Menteri. Tak sampai setahun, jenama Islam Hadhari yang orang Malaysia yang Islam pun tak pernah dengar, tetapi penggunaan rangkaian jentera penerangan telah membolehkan tak sampai setahun, orang bukan Islam pun boleh berbincang tentang Islam Hadhari, Maqasid Syariah, Wasatiyyah.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
P.036 Parlimen Kuala Terengganu
2 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 3/5/2018