Nasihat pengasas pondok jadi inspirasi calon PAS

PERMATANG PAUH: Pertemuan empat mata antara calon-calon PAS bersama pengasas Pondok Ustaz Bakar, Kubang Semang yang terkenal di daerah ini lewat petang semalam nyata satu pertemuan yang menggembirakan.

Advertisement

Tiga calon PAS tersebut adalah bagi P.044, Permatang Pauh, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, N.12 Penanti, Ustaz Fawwaz Mohd Jan dan N.11 Permatang Pasir, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof.

Menurut Ustaz Fauzi yang juga Pesuruhjaya Pulau Pinang, pertemuan tersebut diadakan kerana Ustaz Bakar yang juga ulama berpengaruh di sini berhasrat untuk bertemu kesemua calon PAS yang bertanding di Permatang Pauh.

Ujarnya, pertemuan selama sejam itu berlangsung dengan penuh pengisian dan nasihat daripada ulama tersohor tersebut.

“Beliau berharap supaya calon-calon PAS bekerja bersungguh-sungguh dan kalau sekiranya tidak berjaya pun nanti selepas itu turun lagi untuk bekerja dan berkhidmat.

“Apatah lagi kalau sekiranya menang, maka sudah tentulah kami kena turun sentiasa turun untuk membantu rakyat dengan sepenuh hati. Itu antara intipati perbincangan dengan beliau, selain itu, kami taaruf,” katanya.

Selain itu katanya, Ustaz Bakar turut berkongsi pengalaman dan sejarah perjuangan beliau bersama PAS di Kedah dan Pulau Pinang sejak berusia 12 tahun.

Tambah Ustaz Fauzi, perkongsian dan nasihat yang dititipkan oleh Ustaz Bakar akan menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada calon-calon PAS yang bertanding untuk memastikan hasrat PAS menguasai Pulau Pinang dengan menumbangkan PH pasti akan berjaya.

“Antara nasihat beliau adalah jaga hubungan ukhuwah sesama ahli maknanya ada hubung kait nanti selepas ini mari jumpa, pemimpin dan rakyat perlu akrab, jika akrab maka banyak perkara dapat diselesaikan nanti,” katanya.

Ustaz Bakar dalam pertemuan bersama Ustaz Fauzi sebelum ini mendedahkan hampir 20 tahun beliau tidak turun mengundi kerana calon yang dipertandingkan tidak berhasrat membawa dasar Islam.

Ujarnya, beliau berpegang kepada amanah daripada allahyarham ayahnya yang mahu anak-anaknya memilih calon yang hanya benar-benar memperjuangkan Islam.

Katanya, setelah sekian lama, beliau kali ini dilihat cukup bersemangat untuk membantu kemenangan PAS di Permatang Pauh dengan memastikan dirinya akan turun mengundi pada 9 Mei nanti. – HARAKAHDAILY 3/5/2018