PAS tidak asing dengan Permatang Pauh

afnan

PERMATANG PAUH: Isu di kawasan Parlimen Permatang Pauh ialah rakyat fobia kerana ia antara kawasan yang paling banyak pilihan raya kecil.

Advertisement

“Jadi rakyat Permatang Pauh yang saya kira kebelakangan ini, bila jumpa dia agak fobia kerana orang ini naik, letak jawatan bagi anak bertanding, kemudian bagi isteri bertanding,” ujar calon PAS bagi P.044 Permatang Pauh, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden ketika ditemubual semasa turun berkempen menghadiri undangan Majlis Kesyukuran di Seberang Jaya, kelmarin.

Selain itu, katanya Permatang Pauh unik sebab ia ada sejarah menunjukkan kekuatan PAS iaitu 40 tahun dahulu.

“PAS pernah menang di kerusi Permatang Pauh. Oleh itu, PAS dengan Permatang Pauh ini tidak asing,” ujanya lagi.

Berikut petikan temubual tersebut.

Harakah: Sebagai seorang tokoh anak muda yang juga merupakan anak tokoh berpengaruh bekas imam masjid negara, boleh cerita sikit macam mana ustaz boleh terlibat dengan politik, adakah ikut jejak langkah ayah?

Ustaz Afnan Hamimi: Pertama kali, ayah saya ini terlibat dengan PAS sejak beliau mengaji di pondok Pasir Tumbuh.
Secara aktifnya, saya terlibat dengan PAS seawal tingkatan dua, saya bersekolah di sekolah milik ayahanda kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, ayah kepada Dato’ Nik Amar iaitu almarhum Haji Nik Abdullah Arshad, Pak Nik Lah.
Pak Nik Lah ini antara pimpinan PAS yang bertanding dalam pilihan raya yang tak pernah kalah, bermula daripada situ sampai sekarang ini saya terlibat secara aktif dengan PAS.

Mewakili anak muda di Permatang Pauh, ustaz nak bawa pendekatan yang bagaimana untuk merapati saf bersama-sama anak-anak muda?

Kita menggunakan pendekatan sama yang diperkenalkan oleh PAS iaitu pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) kita nak anak muda pada hari ini biar matang berpolitik, bukan politik yang dikongkong oleh pihak tertentu.
Saya kira bagi saya, apa yang PAS bawa hari ini mesra dengan pendekatan anak-anak muda.
Kemudian, kenapa PAS perlu menjadi pilihan anak muda? Kerana PAS menumpukan kepada pembangunan generasi muda dengan serius, kita bina generasi muda ini sejak daripada prasekolah. Kita ada PASTI, terbaru nanti, kita ada sekolah menengah, kita ada kolej, kita ada kelab-kelab yang boleh menjadikan minat anak muda itu terarah kepada Islam.
Kita ada kelab ARC, kelab motosikal. Saya fikir PAS satu-satunya parti politik yang serius untuk membangunkan anak muda. Parti lain, dia hanya bangunkan dengan benda jadi tidak ke mana benda itu.

Isu yang ustaz nak bawa di sini, isu apa yang selalu jadi bebanan kepada penduduk di Permatang Pauh?

Isu di sini ialah rakyat fobia kerana Permatang Pauh ini antara kawasan yang paling banyak pilihan raya kecil jadi rakyat Permatang Pauh yang saya kira kebelakangan ini, bila jumpa dia agak fobia kerana orang ini naik, letak jawatan bagi anak bertanding, kemudian bagi isteri bertanding.
Itu antara kebimbangan dan fobia yang ada pada mereka. Selain daripada itu, Permatang Pauh ini uniknya sebab dia ada sejarah menunjukkan kekuatan PAS iaitu 40 tahun dulu, PAS pernah menang di kerusi Permatang Pauh.
Oleh itu, PAS dengan Permatang Pauh ini tidak asing.

Setakat ini ustaz selesa tak bersaing dengan Nurul Izzah Anwar dan Dato’ Zaidi daripada BN?

Saya bukan setakat selesa tetapi saya tenang, berdiri atas pentas semasa hari penamaan calon pun saya rasa tenang, bukan setakat selesa tapi tenang walaupun kami dikatakan sedondon dalam tiga orang itu, saya rasa tenang.
Saya rasa tenang bukan sebab mereka itu saingan saya, tetapi merasa tenang sebab saya dihantar untuk membawa mesej Islam. – HARAKAHDAILY 3/5/2018

Banyak lagi soalan menarik yang ditanya dalam temubual itu. Temubual penuh dalam Harakah keluaran akan datang.