Politik cara burung unta

DALAM pilihan raya, kemenangan sesebuah parti pada kebiasaannya akan bergantung kepada berapa banyakkah undi atas pagar yang dapat diraih oleh parti tersebut.

Advertisement

Pada kebanyakkan Parlimen atau Dun yang seimbang kekuatan kedua-dua parti, peratusan pengundi adalah sekitar 40 – 60 peratus adalah menjadi milik tetap kepada parti-parti yang bertanding iaitu penyokong tegar parti mereka. Jadi akan tinggal lagi sekitar 40 – 60 peratus pengundi atas pagar.

Peratusan mengundi pula menunjukkan purata 85 peratus keluar mengundi, menjadikan undi yang mahu direbut ialah sebanyak 25 – 45 peratus.

Jika jumlah pengundi di Dun tersebut berjumlah 20 ribu orang, maka jumlah rebutan itu ialah di antara lima ke sembilan ribu undi. Dalam situasi sebegini, jika tiada isu yang memberikan gelombang kepada pengundi, biasanya parti yang menang majoritinya hanya di bawah 500 undi.

Kerja keras selepas PRU mesti dimulakan segera dengan mendaftarkan seramai mungkin pengundi-pengundi tegar baharu bagi menaikkan peratusan pengundi tegar di Dun tersebut, tanpa lengah. Ini kerana menurut dapatan ringkas, ketika kempen, kebolehan meningkatkan peratusan undi berpihak kepada sesebuah parti jika tiada isu besar, hanyalah sekitar di bawah lima peratus, menunjukkan bahawa pengundi atas pagar juga telah membuat keputusan mereka sedari awal.

Apakah masalah utama kepada 25 – 45 peratus pengundi atas pagar ini yang tidak memihak? Banyak yang boleh disenaraikan, tetapi yang agak ketara ialah kefahaman mereka tentang organisasi parti politik itu. Mereka tidak faham fungsi dan peranan wakil rakyat dan jenteranya.

Ada di antara mereka hanya memikirkan wakil rakyat mesti tahu masalah mereka. Mereka mesti diberikan penerangan kepada sistem yang ada, sebagai informasi baharu kepada mereka demi menjadikan mereka lebih diraikan.

Di dalam organisasi PAS, semuanya bermula daripada ahli. Jika di sesebuah kampung itu mempunyai jumlah ahli yang mencukupi bagi mendirikan Cawangan, maka itu sudah dianggap kuat.

Daripada ahli-ahli ini, ditubuhkan Jawatankuasa (JK) Cawangan untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti parti. Ia berkembang kepada Unit Peti Undi (UPU) iaitu gabungan kepada beberapa buah Cawangan yang ada berdekatannya.

Daripada situ, unit ini akan bergabung dengan beberapa UPU lain, bagi membentuk Kawasan Dun. Bergerak daripada sini, beberapa Dun akan membentuk Kawasan Parlimen (Tetapi dalam organisasi hanya Cawangan dan Kawasan Parlimen sahaja yang membentuk organisasi yang dikehendaki ROS, yang lain JK yang dilantik sahaja).

Tetapi yang menjadi teras yang penting di dalam organisasi ini ialah Cawangan. Apabila Cawangan itu aktif dan mempunyai ramai ahli, maka boleh kita katakan ia menjadi kubu kepada parti. AJK Cawanganlah yang akan bertanya khabar, mencari si miskin, orang yang sakit, janda-janda, anak yatim, jalan-jalan yang rosak, orang-orang yang memerlukan bantuan dan banyak lagi.

Mereka kenal hampir kesemua penduduk di situ, anak siapa, keluarga mana. Cawangan PAS pada ghalibnya akan menjadikan surau-surau yang dibina dengan duit sendiri sebagai pusat operasi untuk semua aktiviti dunia dan akhirat. Manakala wakil rakyat pula, melalui mesyuarat Majlis Tindakan Dun, akan merangka semua aktiviti-aktiviti setempat, di atas nasihat Cawangan di dalam mesyuarat. Tanpa cawangan, pincanglah pergerakan wakil rakyat.

Berbalik kepada kefahaman pengundi atas pagar itu. Ada yang berfikiran, wakil rakyat tidak menjalankan tugas mereka kerana tidak pernah melihat wakil rakyat datang ke rumahnya. Lima tahun sekali baharu nampak muka. Lalu bagi mereka, pengundi berbalah sesama mereka semasa kempen, tetapi apabila pengundi mati, wakil rakyat tak datang menjenguk pun kata mereka.

Mereka gagal melihat bahawa merekalah yang sepatutnya dahulu bergaul dengan masyarakat untuk memberitahu keberadaan mereka di situ.

Contohnya jika mereka sentiasa ke surau, masjid ataupun menyertai badan khairat kematian atau berterusan mereka ke program-program kemasyarakatan, maka kehadiran mereka disedari. Saya boleh memberikan jaminan bahawa wakil-wakil rakyat PAS, jika mereka berada dalam kawasan pada waktu itu akan hadir jika contohnya ada kematian atau kenduri. Paling kurang juga mereka akan menghantar wakil ataupun hadir setelah mereka kembali dari tugasan. Untuk urusan jenazah, ahli-ahli PAS sangat komited melakukannya kerana mereka memahami inilah peluang pahala.

Oleh itu marilah menyertai masyarakat, menghadirkan diri ke kuliah-kuliah, solat berjemaah dan sebagainya bagi membentuk sikap yang lebih peka kepada sekeliling dan menjadikan kita lebih kuat dengan menyertai PAS. Memahami sistem yang ada dan tidak membuat andaian sendiri dengan salah.

Wakil rakyat tidak akan sentiasa dapat ke rumah kita. Bayangkan jika 20 ribu pengundi yang mesti disantuni, wakil rakyat mesti menghabiskan ziarah sebanyak 11 buah rumah sehari dalam masa lima tahun tanpa cuti. Itu baru sekali ziarah, jika dua kali seorang, maka 22 buah rumah sehari. Agaknya bagaimana untuk Parlimen yang ada 100 ribu pengundi? Siapa agaknya yang mampu. Kemudiannya kita menuduh wakil rakyat secara batil, tidak nampak muka, hanya lima tahun sekali.

Jangan kita berpolitik cara burung unta. Memasukkan kepalanya di dalam lubang dan berfikir bahawa tiada orang yang melihatnya, sedang punggungnya tertungging keluar. Burung unta juga tidak baik untuk dicontohi kerana dia tidak ada identiti seperti pengundi atas pagar.

Burung pun bukan, unta pun bukan. Dengan beroganisasi, kita akan dapat menyatakan pendirian kita melalui saluran yang betul. Jom kita dirikan negara yang benar-benar merdeka bersama PAS kerana telah membuktikan mereka komited dengan tanggungjawab terhadap Allah dan manusia. – HARAKAHDAILY 3/5/2018