Royalti lombong emas makin meningkat

TANAH MERAH: Kerajaan negeri menjangka kutipan hasil daripada perlombongan emas dalam tempoh lima tahun bermula 2018 hingga 2023 mampu memberi pulangan royalti sehingga RM94.5 juta.

Advertisement

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, hasil daripada aktiviti perlombongan itu terus meningkat dari setahun ke setahun.

“Ia merupakan jumlah yang besar untuk kita salurkan semula melaksanakan program pembangunan dan kebajikan rakyat Kelantan.

“Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mula meningkatkan pengeluaran emas dalam skala lebih besar sejak 2016,” katanya di sini semalam. (Foto: Ustaz Ahmad Yakob hadir pada perasmian Loji Larut Resap Karbon di lokasi perlombongan emas syarikat CNMC.)

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan operasi loji larut resap karbon CMNC Mining di Mukim Sokor Daerah Ulu Kusial.

Usahasama perlombongan emas itu diadakan dengan kerjasama CNMC Mining Group bermula 2007.

Pada peringkat awal dilaksanakan dalam skala kecil, namun operasinya dipertingkatkan lagi. – HARAKAHDAILY 3/5/2018