Sumpah undi BN tidak terpakai

KOTA BHARU: Dewan Ulamak PAS Kelantan menjelaskan lafaz sumpah dengan nama Allah sebagai usaha meraih undi supaya mengundi BN sebagai tidak terpakai (lagha).

Advertisement

Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato’ Hassan Mohamood berkata, sesiapa yang dipaksa untuk bersumpah dengan ugutan, maka lafaz sumpah yang dilafazkan dianggap tidak sah.

“Sekiranya melanggari sumpah tersebut, ia tidak perlu membayar kaffarah. Syarat bagi orang yang bersumpah mestilah mukalaf dan secara sukarela.

“Sebaliknya, sesiapa yang bersumpah secara sukarela untuk memilih kepimpinan yang tidak layak, maka hendaklah dia melanggar sumpah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sumpah baiah Umno diviralkan dalam media sosial sekarang antara lain berbunyi; “Wallahi Wabillahi Wattallahi.. Nama____ No kad pengenalan ____
.. secara sukarela bersumpah akan balik mengundi calon BN peringkat Dun dan parlimen pada PRU 14. Saya juga akan merahsiakan baiah ini daripada pengetahuan sesiapa.

“Jika saya ambil sumbangan ini dan ingkar sumpah saya ini, saya rela terima laknat dan azab daripada Allah SWT”. – HARAKAHDAILY 3/5/2018