Usah hanyut dibuai mimpi

TERSEBUT alkisah di sebuah negeri
Seorang individu menukar parti
Diletak bertanding di satu kerusi
Jawatan kerajaan turut dijanji
Jawatan parti tidak pula diberi

Advertisement

Terus dilayan umpama selebriti
Walhal bukan pemimpin tinggi
Diusung orang ke sana ke mari
Dipuja-puji dilambung tinggi sekali
Meski tiada rekod peribadi

Sanggup lukai keluarga sendiri
Malah kritik pula parti tradisi
Hujah sekutu terus diulangi
Meminta ahli mengubah undi
Walau ia tidak disambuti

Tinggal pula kawasan ditandingi
Yang kemenangan sangat diragui
Kerana pengundi belum kenali
Malah tiada pula jasa bakti
Sekadar berharap kepada legasi

Usahlah hanyut dibuai mimpi
Fikirlah sama akan nasib diri
Andai tewas sakit tak terperi
Kawan-kawan pun akan lari
Tinggal nanti menggigit jari

Tak salah mengejar duniawi
Jangan sampai ukhrawi diketepi
Mari kita menghitung hari
Yang sudah tak lama lagi
Ketentuan Allah itu pasti – HARAKAHDAILY 3/5/2018