3 penjuru: Rakyat dan yang bersama rakyat untung

syahir

“DAN demikian Kami telah menjadikan kamu, umat yang pertengahan (adil) agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu.” (Maksud ayat 143 surah Al-Baqarah)

Advertisement

Terima kasih kepada pihak Sinar Harian yang menjemput saya sebagai panelis dalam program Wacana Sinar ke-55 bertajuk “Tiga Penjuru, Siapa Dapat Manfaat?”.

Pada mulanya ketika menerima jemputan, saya sedikit gementar apabila dimaklumkan akan berganding dengan Naib Presiden PAN dan Ahli Majlis Tertinggi Umno. Namun setelah berbincang dengan Ketua Pemuda PAS dan AJK Harian DPPM, serta mendapatkan pandangan daripada kepimpinan tertinggi PAS, keputusan dibuat untuk “Kita hantar orang muda sahaja, menunjukkkan PAS lebih segar”. Ternyata detik itu menjadi ilmu dan pengalaman baharu, untuk kami Pemuda PAS.

Di dalam pusingan pertama, saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan tawaran besar PAS kepada negara dan rakyat secara ringkas, yang terkandung di dalam “Formula 4+1”.

Formula Pertama, Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), iaitu budaya berpolitik yang mengutamakan pendekatan damai (muwajahah silmiyyah) dan bekerjasama atas kebaikan (ta’awun siyasi). BPMS ini ternyata menjadi lonjakan baru kepada PAS, khususnya bagi mendekati pihak NGO, penjawat awam, serta pengundi muda, dan insyaAllah menjadi wadah untuk pengundi atas pagar memilih untuk bersama PAS.

Formula Kedua, Dokumen Hijau (DH), iaitu dokumen yang menggariskan segala dasar dan prinsip ekonomi Islam untuk menyelesaikan tiga isu utama ekonomi negara dan rakyat; pelaksanaan cukai GST, kejatuhan matawang Ringgit dan kenaikan kos sara hidup. Di dalamnya terkandung segala cadangan dan mekanisma pelaksanaan, yang wajar diperhalusi dan dibahaskan secara ilmiah.

Formula Ketiga, Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 2051), iaitu dasar dan kerangka bernegara (nation building) ke arah mewujudkan negara sejahtera menjelang 2051. Dokumen WINS 2051 ini telah dilancarkan oleh Presiden PAS pada tahun 2017, dengan mengambil panduan bernegara dan bermasyarakat yang digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah, serta disusun mengikut tiga fasa, mengandungi 10 teras dan 6 kunci capaian utama, bersesuaian dengan konteks dunia semasa.

Formula Keempat, manifesto di peringkat Pusat dan Negeri yang ditawarkan oleh Gagasan Sejahtera. Manifesto yang sangat berkebajikan ini mengandungi 2 peringkat, 9 teras, 20 tawaran utama, serta 84 tawaran khusus untuk 12 kelompok masyarakat. Manifesto ini digubal dengan mengambil Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama, serta mengangkat segala tuntutan rakyat, anak muda, wanita, penjawat awam dan swasta, petani dan usahawan, serta mendapat persetujuan tokoh korporat, pemimpin masyarakat, dan bekas pegawai kanan kerajaan.

Formula Kelima, calon-calon Parlimen dan Dun yang ditawarkan oleh PAS dan Gagasan Sejahtera. Pemimpin yang ditawarkan ini, memiliki nilai integriti dan kompetensi yang tinggi, serta memenuhi kriteria Al-Amin dan Al-Qawiy yang ditunjukkan oleh Nabi Musa a.s., dan kualiti Al-Hafiz dan Al-‘Alim yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf a.s. Inilah tawaran terhebat daripada PAS, sebagai formula untuk menyelesaikan segala permasalahan negara dan rakyat, seterusnya membina Malaysia yang sejahtera, insyaAllah.

Saya turut menyebutkan bahawa, keempat-empat formula tersebut (Formula 1 hingga 4), boleh diambil oleh pihak BN dan PH jika mereka mampu menirunya. Namun Formula Kelima (Formula Plus One) ini, sesekali tidak akan mampu ditiru dan ditandingi oleh BN dan PH, iaitu calon-calon Parlimen dan DUN yang berilmu, berakhlak, berkemampuan, berkebajikan dan bersih daripada rasuah (5B), dan insyaAllah akan menjadi pilihan rakyat dan anak muda pada PRU ke-14 ini.

Dalam pusingan kedua, saya menyatakan secara simplistik, mujur PAS menghantar calon di Parlimen Batu dan Dun Penaga pada hari penamaan. Jika tidak, BN sudah mendapat kemenangan percuma apabila wakil PH ditolak pencalonannya pada 28 April yang lepas.

Seterusnya saya menyatakan, penyertaan PAS dalam pertandingan tiga penjuru ini, memberikan alternatif dan wadah baharu kepada kelompok pengundi atas pagar yang menolak Umno dan menolak DAP, yang selama ini hanya mempunyai dua pilihan sahaja, iaitu Barisan ataupun Pakatan.

Di ufuk kanan adalah Umno dan sekutunya, yang menjadi simbol sebuah kerajaan yang terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang tidak berkesudahan, seperti isu 1MDB, FGV, dan MARA.

Di ufuk kiri pula adalah DAP dan sekutunya, yang menjadi simbol politik fitnah dan permusuhan, serta bercanggah dengan nilai ketamadunan Melayu dan keharmonian kaum dalam negara. Lebih malang apabila pemimpin yang di zamannya dahulu bermula budaya politik wang, amalan kronisma dan nepotisma, di samping tangannya yang masih kotor dengan darah syuhada’ Memali, kini diangkat sebagai calon Perdana Menteri oleh DAP dan sekutunya.

Ternyata dalam konteks politik Malaysia hari ini, PAS membuat keputusan yang tepat untuk kekal berada di garis pertengahan, di antara persaingan ufuk kanan dan ufuk kiri, dengan memilih pendekatan politik matang dan sejahtera, yang lebih disenangi oleh majoriti rakyat dan anak muda.

Selain itu, pertembungan tiga penjuru di antara PAS, BN dan PH dalam PRU14 ini, menyerlahkan wajah dan sikap sebenar, siapakah perasuah, siapakah pendusta, siapakah pemfitnah, dan siapakah di pihak yang benar. Saya berkeyakinan bahawa majoriti rakyat dan anak muda sentiasa bijak untuk menilai mana yang baik, dan mana yang buruk.

Insya Allah dengan pertimbangan akal, ilmu dan kesedaran yang tinggi, pada 9 Mei 2018 ini, rakyat akan memilih mereka yang benar-benar bersama rakyat, untuk diangkat sebagai wakil rakyat.

Tahniah kepada YB, Yang Bersama Rakyat.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
4 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 4/5/2018