Tiada beza zaman BN dan PH di Pulau Pinang

PERMATANG PAUH: Tidak ada bezanya zaman pemerintahan Umno-BN mahupun Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang kerana masih ada kaum Melayu-Islam di negeri ini khususnya di kawasan Penanti yang hidup melarat.

Advertisement

Ada dalam kalangan rumah penduduk kampung yang hanya berlantaikan simen tanpa dilapik tikar getah bahkan hingga ke tahap masih ada penduduk yang memasak menggunakan dapur kayu kerana tidak mampu membeli tong gas untuk memasak.

Keadaan itu disaksikan sendiri oleh calon PAS bagi N.12 Penanti, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, ketika turun berkempen di sekitar kawasan kampung tempat beliau bertanding.

“Seolah-olah tidak ada perbezaan zaman pemerintahan Umno-BN dan juga PH. Ini berlaku kerana dasar yang digunakan Umno-BN di peringkat Persekutuan yang menindas rakyat dan juga dasar PH yang merugikan rakyat,” katanya.

Beliau turut berkongsi, aduan penduduk kampung yang menghadapi masalah terputus bekalan air, ia kerap berlaku apabila tiba waktu solat.

Menurutnya, kampung yang dilawati itu dikatakan adalah kubu kuat Umno dan PKR, walau bagaimananpun aduan sama telah disampaikan namun sehingga ke hari ini penduduk masih menghadapi masalah sama yang berpanjangan.

Selain itu katanya, penduduk Penanti turut menyampaikan kebimbangan mereka terhadap kedai judi haram yang beroperasi tanpa lesen dan didapati anak-anak muda Melayu antara mereka yang terlibat dalam perjudian.

“Dari sudut kewajaran untuk adanya kedai-kedai judi di Penanti itu tidak sepatutnya berlaku kerana kaum majoriti penduduk di kawasan Penanti ini adalah Melayu beragama Islam,” katanya.

Turut menjadi perhatian beliau adalah isu pembinaan kilang haram yang beroperasi tanpa lesen di Penanti.

“Ia (kilang haram) banyak sebenarnya di Penanti, bahkan dalam satu catitan disebutkan di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) sahaja ada 150 buah kilang yang tidak berlesen.

“Jika perkara ini tidak dicegah, disekat dan diambil tindakan, kita bimbang ianya akan semakin merebak dan membahayakan masyarakat sekelilingnya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut yang pernah disuarakan oleh penyandang kerusi Penanti Dr Norlela Ariffin dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) lalu, namun beliau tidak mendapat sokongan daripada rakan partinya sehingga beliau dimarahi dan disekat peruntukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Tambahnya, Dr Norlela terpilih untuk bertanding mempertahankan kerusinya hanya kerana memiliki pengaruh semata-mata tetapi disebabkan beliau pernah mempunyai rekod tersendiri antara kerajaan PH di Pulau Pinang mungkin selepas ini akan lebih menyukarkan kerjanya untuk berkhidmat kepada rakyat di Penanti.

Justeru itu, Ustaz Fawwaz yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh menggesa rakyat Permatang Pauh menilai sendiri keupayaan kedua-dua pihak pemerintahan ini yang telah memegang tampuk pemerintahan di negeri ini dengan melakukan perubahan pada 5 dan 9 Mei nanti. – HARAKAHDAILY 4/5/2018