Calon P.118 kempen aktiviti riadah

SETIAWANGSA: Kesibukan calon PAS P.118 Setiawangsa, Ustaz Ubaid Abd Akla berkempen tidak menghalangnya untuk turut serta beriadah pada program Badminton Bersama Belia (3B).
 
Bertujuan mempromosikan galakan aktiviti riadah untuk penjagaan kesihatan khususnya kepada warga ibu kota, program tersebut dilangsungkan di Lavada Sport Centre, Setapak, di sini kelmarin.
 
Dalam kesempatannya menyampaikan ucapan, beliau memetik hadis Rasulullah S.A.W yang menegaskan kepentingan kekuatan diri menerusi kesihatan diri dan aktiviti sunnah seperti memanah dan berkuda.
 
“PAS dalam manifestonya menekankan akan meningkatkan kualiti kesihatan rakyat dengan menambah bilangan pakar dan hospital untuk memenuhi keperluan rakyat.
 
“Ianya akan dipenuhi berasaskan nisbah yang disyorkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” ujar ikon anak muda dan calon termuda PAS Wilayah Persekutuan itu.
 
Jelasnya juga, badan sihat adalah pemangkin kepada akal cerdas di mana dengan rohani yang utuh menghasilkan manusia berketrampilan, bersemangat dan sedia menghadapi cabaran meningkatkan kemajuan negara.
 
Ubaid yang berkelulusan dari Universiti Islam Antarabangsa merupakan usahawan muda dan Guru Besar SRITI Abu Bakar Chik. -HARAKAHDAILY 5/5/2018
Advertisement