Gagasan Sejahtera yakin potensi menang 112 kerusi

KUALA LUMPUR: Gagasan Sejahtera melahirkan keyakinan awal untuk memenangi 112 kerusi Parlimen sekali gus mampu menerajui negara dengan simple majority.

Advertisement

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS yakin untuk memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata demikian semasa sidang media khas di Pejabat Agung PAS, di Jalan Raja Laut sebentar tadi.

Beliau yang juga Jurucakap Rasmi Gagasan Sejahtera memaklumkan bahawa perkembangan positif daripada 196 pusat kempen di seluruh negara meyakinkan PAS untuk mencapai sasaran untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Kata beliau, keyakinan PAS ini didorong oleh jentera PAS yang menjalankan kempen dengan kaedah turun padang untuk bertemu pengundi secara langsung.

Gagasan Sejahtera yang dianggotai oleh PAS meletakkan 158 calon untuk bertanding kerusi Parlimen di seluruh negara.

PAS memerlukan sekurang-kurang 112 kerusi untuk mencapai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan tanpa bergabung dengan mana-mana parti politik lain.

Tawar calon berkaliber

Beliau juga memaklumkan bahawa calon-calon Gagasan Sejahtera terdiri daripada kalangan Profesional, Tokoh-tokoh Agama dan mantan Pegawai Kanan Kerajaan yang sesuai untuk mengemudi kerajaan pasca PRU14.

Katanya, menurut seorang penganalisis Astro Awani, Gagasan Sejahtera memiliki calon PhD paling ramai di kalangan parti politik yang bertanding pada PRU14

PAS telah meletakkan 17 calon yang memiliki PhD dengan 9 calon bagi kerusi Parlimen dan 8 calon bagi kerusi Dun di seluruh negara.

PAS juga seperti yang dilaporkan oleh laman web Malaysia Sejahtera telah menghantar seramai 60 peratus calon yang dikira sebagai profesional. – HARAKAHDAILY 5/5/2018