Menilai taktikal PAN calonkan Nik Omar

PROLOG

Advertisement

Tidak boleh melelapkan mata malam ini. Teringatkan arwah bonda dan ayahanda. Semoga keduanya dilimpahi lautan rahmat Allah S.W.T yang tidak bertepi.

Pengenalan 

Strategi yang diputuskan oleh PAN Kelantan ialah memastikan salah seorang anak al-Marhum TG Nik Abdul Aziz bertanding menentang PAS.

Jika ia dapat dilaksanakan, ia dapat membuktikan sokongan keluarga TG Nik Abdul Aziz menyokong PAN dan PH. Ia juga dapat menunjukkan PAS selepas era TG Nik Abdul Aziz memang telah berubah. Ini dapat menarik sebahagian besar pengundi PAS untuk beralih mengundi PH.

Kejayaan awal strategi ini 

Strategi ini nampak berkesan. Nik Omar menjadi popular secara luar biasa dalam 72 jam yang terakhir ini. PAN Kelantan dilihat mampu melaksanakan strategi yang kelihatan seperti Mission Impossible.

PH mendapat kekuatan tambahan dengan Nik Omar. Kekuatan keluarga DS Anwar telah dilihat tepu. Pergaduhan DS Azmin dan Rafizi Invoke perlu ditenggelamkan.

PH berjaya mendapat pemangkin untuk melebarkan pengaruhnya. Nik Omar diangkat menjadi ikon perjuangan TG Nik Abdul Aziz.

Menggabungkan Nik Omar dengan Tun Mahathir adalah seperti kejayaan menggabungkan TG Nik Abdul Aziz sendiri dengan Tun Mahathir di atas satu pentas politik. 

Hasil sebenar strategi ini 

Strategi ini telah berjaya memporak-perandakan keluarga al-Marhum TG Nik Abdul Aziz. Sampai adik-beradik berentap sesama sendiri. Sampai anak melawan bondanya. Sampaikan bonda terpaksa turun berkempen menentang anaknya sendiri di Dun Chempaka.

Nik Omar pula telah memanggil Tun Mahathir sebagai “Ayahanda”. Seumpama menagih kasih daripada “Ayahanda” yang baru. Bagaikan sudah terlupa ayahandanya yang baru pergi.

Mungkin selepas ini, Nik Omar akan terjumpa “Bonda” baru pula. Bonda lama, mungkin tidak sporting. Tidak memahami aspirasi rakyat Kelantan. Tidak memahami kehendak Nik Omar untuk memajukan Kelantan di atas nama PH dan PAN. Hampir menitis air mata ketika menulis bait-bait ini.

PAN dan PH bersorak ria 

Daripada aspek taktikal, PAN Kelantan telah berjaya. Kejayaan yang boleh diraikan.

Namun daripada aspek mempromosikan akhlak dan nilai kekeluargaan, PAN Kelantan dilihat merudum teruk. Ia sanggup berbuat apa saja untuk menang.

Siapalah yang sampai sanggup menentang ibunya sendiri demi menjayakan sebuah strategi pilihan raya? Anda sanggup? Saya tak sanggup. Namun PAN berjaya mencari yang sanggup.

Derita menentang bonda sendiri 

Carilah orang lain untuk bertembung dengan bonda saya. Saya tentulah tidak sanggup dan tidak mampu bertembung seperti ini dengan bonda sendiri. Apatah lagi, ini bukanlah medan pertembungan iman melawan kufur. Bukan perang antara dua agama seperti kata Nik Omar.

Jika saya, saya akan tarik diri. Saya akan menyerah kalah. Saya tidak sanggup menjadi bidak catur orang lain sampai melukakan hati bonda sendiri. Sampai gugur air matanya.

Saya lebih rela dituduh penakut. Dituduh macam-macam. Saya sanggup memujuk bonda. Tapi takkan sampai sanggup menentang bonda. 

Penutup  

Saya yakin parti saya akan memahami. Parti akan cari orang lain. Parti akan sanggup berkorban demi memelihara hubungan ibu dan anak. Tapi parti PAN, nampaknya tidak begitu.

ZAKARIA ISMAIL
5 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 5/5/2018