Perantau dirayu pulang pertahan Kelantan

KOTA BHARU: Anak-anak Kelantan di perantauan dirayu pulang ke kampung halaman bagi membolehkan menunaikan tanggungjawab pada 9 Mei ini.

Advertisement

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, anak-anak perantau hendaklah bersama menunaikan tanggungjawab mengekalkan kerajaan yang ada sekarang.

“Ini bagi membolehkan kita melaksanakan lebih banyak lagi program-program yang sudah kita rancang terutamanya yang dipandu daripada wahyu Allah Taala.

“Saya menyeru dan merayu kepada semua anak perantau supaya balik ke Kelantan bagi menunaikan tanggungjawab yang besar iaitu mengundi 9 Mei ini,” katanya di sini.

Menurutnya juga sejak Kepimpinan Ulama menerajui Kelantan bermula akhir 1990 sehingga sekarang sudah banyak program dilaksanakan demi kebajikan, kebaikan dan keamanan rakyat Kelantan.

Kata beliau semoga kembali anak Kelantan akan memberi kekuatan dan kebaikan yang banyak kepada kerajaan negeri ditadbir berasaskan Islam.

“Saya juga berharap ana-anak perantau berhati-hati dalam perjalanan pulang bagi membolehkan dapat menunaikan tanggungjawab dan dapat kembali semula ke tempat kerja dengan selamat,” ujarnya.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS, Dato’ Dr Johari Mat pula berkata, tanggungjawab bagi mempertahankan Kerajaan Islam di Kelantan menjadi satu perjuangan yang cukup besar.

Katanya, biar dalam keadaan apa sekalipun anak perantau hendaklah pulang ke kampung masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab tersebut.

“Islam yang kita pertahankan memberi kerahmatan kepada semua rakyat termasuk masyarakat bukan Islam,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 5/5/2018