Rakyat keliru perjuangan sebenar PH

KETEREH: Ketika era reformasi kebangkitan rakyat dihalang dengan keras Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Advertisement

Peristiwa mata lebam dialami Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak boleh diterima rakyat sehingga mereka bangkit menentang kerajaan tanpa menghirau pancutan air kimia, setiap hujung minggu.

Malangnya dua watak utama yang terbabit dalam episod itu kini berada dalam satu pasukan bagi menumbangkan pula Dato’ Seri Najib Razak dan menyerang PAS.

Calon PAS Dun Melor, Dr Md Yusnan Yusof berkata, situasi yang berlaku sekarang tidak difahami rakyat sehingga dua pihak bermusuh yang menggemparkan negara kini boleh bersatu.

“Situasi sekarang orang yang pernah menzalimi Dato’ Seri Anwar sehingga lebam mata, tiba-tiba diangkat sebagai ketua Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan tazkirah mingguan setiap pagi Sabtu di pekarangan Pasar Peringat hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ini Dr Md Yusnan ditentang BN, Azmi Ishak dan Abdul Aziz Abdul Kadir mewakili PH.

Dr Yusnan juga berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi kerja sepanjang sepenggal berkhidmat sebagai wakil rakyat di Dun Melor. – HARAKAHDAILY 5/5/2018