Tak akan menang dengan jual nama TGNA

SEHARI dua ini galak sekali nampaknya pemimpin PAN menyebarkan cerita Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, kononnya turut didukung oleh Almarhum Tok Guru Nik Aziz, bukan sahaja melalui tindakan anakanda Almarhum, Nik Omar, menyertai parti itu, malah melalui kata-kata yang dituturkan oleh Nik Omar sendiri.

Advertisement

Laman PAN Shah Alam khususnya giat menyebarkan video ucapan Nik Omar di dalam Grand Hi Tea bersama Pengarah Komunikasi PAN merangkap calon P.108 Shah Alam, iaitu Khalid Samad, calon N.40 Kota Anggerik, Najwan Halimi, dan calon N.41 Batu Tiga, Rodziah Ismail, di Shah Alam pada petang 3 Mei lalu.

Di dalam majlis itu, Nik Omar didapati menyebut:

“Ada orang hantar viral, dia kata ada seorang itu dia bermimpi Tok Guru juga, dah musim bermimpikan, lepas itu musim malaikat turun, jadi dia bermimpi juga, dia kata dia tengok Tok Guru, relaks dia kata berjalan, pakai baju t-shirt, dia kata, cuma yang dia peliknya belakang (t-shirt) itu gambar Tun Mahathir”.

Laman Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, pula giat menyebarkan petikan video ucapan Nik Omar di dalam Ceramah Kebangkitan Rakyat PH Parlimen Putrajaya bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad, calon P.125 Putrajaya, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat, dan calon P.117 Segambut, Hannah Yeoh, di Putrajaya pada malam 3 Mei lalu.

Petikan video ucapan Nik Omar yang disebarkan di bawah tajuk “Tun M sentiasa dipuji Tok Guru Nik Aziz: Nik Omar” ini mengandungi kata-kata Nik Omar seperti berikut: “Antara Tun dengan Almarhum Ayahanda Tok Guru, peringkat awal dulu dia memang ada pertentangan kerana politik berbeza, tapi kalau wartawan tanya Tok Guru tentang Tun, kalau adik kakak perhati apa jawapan Tok Guru, Tok Guru akan jawab mula-mula dia puji Tun, dia puji, “Tun ini pemimpin Perdana Menteri yang ada kebijaksanaan, Tun ini pemimpin yang hebat, pemimpin yang bijaksana, dia dihormati oleh rakan sekitar Asia Tenggara, kawasan Asia, Asia Barat bahkan dunia, jadi kerana dia antaranya dia boleh pandu negara kita ke arah yang lebih baik”. Cuma pada masa itu Tok Guru kata, “Cuma”, pada masa tu, “Tun tidak guna untuk Islam”, pada masa itu. Sekarang ni ambo nak kata Tun bersama dengan PH ingin membina semula negara kita ke arah yang lebih baik”.

Menghebahkan mimpi kononnya Almarhum Tok Guru Nik Aziz berjalan memakai t-shirt yang tertera gambar Tun Dr Mahathir Mohamad di belakangnya adalah satu tindakan tidak bijaksana yang boleh disifatkan sebagai satu taktik politik murahan untuk cuba mendapatkan sokongan pengikut Almarhum Tok Guru Nik Aziz kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Begitu juga dengan menyebarkan petikan video ucapan Nik Omar di bawah tajuk “Tun M sentiasa dipuji Tok Guru Nik Aziz: Nik Omar” yang bukan sahaja merupakan satu taktik politik murahan untuk cuba mendapatkan sokongan pengikut Almarhum Tok Guru Nik Aziz kepada Tun Dr Mahathir Mohamad malah merupakan penyimpangan daripada fakta sebenar.

Selaku pengkaji PAS dan pengumpul ucapan Almarhum Tok Guru Nik Aziz, saya telah berpeluang mendengar sendiri ratusan ucapan Almarhum, selain membaca pelbagai teks ucapan dan kenyataan Almarhum. Di mana hampir semua ucapan Almarhum memaparkan sisi negatif Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun sebahagian kecilnya didahului oleh pujian.

Antara rakaman ucapan Almarhum Tok Guru Nik Aziz yang pernah saya dengari ini adalah rakaman satu dialog tertutup yang hangat yang berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu, antara Almarhum dengan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jakim waktu itu, iaitu Datuk Shahir Abdullah dan Datuk Mustapha Abdul Rahman, pada 10 Mei 2002.

Di dalam rakaman panjang yang membabitkan pelbagai isu seperti isu gelaran “Barua” yang diberikan oleh Almarhum Tok Guru Nik Aziz dan isu Amanat Haji Hadi ini, sebelum berpisah, Almarhum telah meminta wakil-wakil Jakim ini supaya menyampaikan pesanan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya “jangan membuat provokasi kepada PAS”.

Turut disebutkan di dalam pesanan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad adalah kenyataan seumpama yang terkandung di dalam petikan video ucapan Nik Omar yang berbunyi begini:

“Orang macam Yang Amat Berhormat Datuk Perdana Menteri ini dia betul-betul layak sebagai pemimpin. Dia berani dia ada, dia ada berani, dia ada gaya reka dia buat itu ada. Jadi kalau dia berpihak kepada Islam, tidak berpihak kepada kebangsaan, tak dok sapodio orang PAS ini boleh tolak dia. Dia tidak merokok, hak nampak gambarnya. Perempuan tak dok. Benda huha huha tak tentu pasal kita tak jumpa benda ini. Jadi sifat dia comel. Dan saya sebut satu masa dulu: Dr Mahathir ini orang cerdik, lincah, tapi dia salah gunakan nikmat cerdik dia itu kepada Sekular, itu. Saya pah sampai sekarang pun saya pegang perkataan ini: Dia cerdik, dia lincah, tapi dia salah gunakan nikmat ini untuk Sekular, tidak untuk Islam. Dalilnya dia tidak terima Quran Hadis sampai akhir. Sampai sekarang pun tak terima lagi. Itu bagi saya tak boleh terima. Aa, itu dia duduk.”

Atas sebab inilah maka tindakan Nik Omar memberikan gambaran seolah-olah kalau Almarhum Tok Guru Nik Aziz masih ada Almarhum juga akan menerima Tun Dr Mahathir Mohamad kerana kononnya sekarang ini beliau “Bersama dengan PH ingin membina semula negara kita ke arah yang lebih baik”, tidak boleh diterima sama sekali.

Jelas dan tegas sekali Almarhum Tok Guru Nik Aziz di dalam kenyataan pada 10 Mei 2002 ini dan di dalam kenyataan lain, tidak boleh menerima Tun Dr Mahathir Mohamad kerana beliau “Salah gunakan nikmat (kecerdikan beliau) untuk Sekular, tidak untuk Islam” berdalilkan bahawa beliau sampai waktu itu “Tidak terima Quran Hadis sampai akhir”.

Bolehkah sesiapa sahaja tunjukkan bukti apakah sekarang ini Tun Dr Mahathir Mohamad telah tidak lagi “salah gunakan nikmat (kecerdikan beliau) untuk Sekular, tidak untuk Islam” dan apakah sekarang ini beliau sudah “Terima Quran Hadis sampai akhir” yang membolehkan Almarhum Tok Guru Nik Aziz menerima beliau kalau Almarhum masih ada?

Malah, sepanjang penelitian saya, tahap ke-Sekularan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin teruk dan tahap “Tidak terima Quran Hadis sampai akhir” beliau semakin kuat, seperti yang terbukti di dalam penentangan kuat beliau terhadap RUU 355 dan di dalam kenyataan beliau di Unimas pada 26 Februari 2012 bahawa “Hudud tidak terdapat dalam al-Quran”.

Bolehkah sesiapa sahaja nyatakan apakah munasabah untuk Almarhum Tok Guru Nik Aziz menerima Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ketua bila beliau sendiri mengakui pada 23 Januari 2018 bahawa “Sesungguhnya banyaklah perkara yang mengelirukan saya berkenaan agama Islam” dan “Banyak lagi dari ajaran Islam dan amalannya yang mengeliru saya”.

Dan apakah apakah munasabah untuk Almarhum Tok Guru Nik Aziz menerima Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ketua bila beliau sendiri di dalam tulisan pada 31 Mac 2018 tidak tahu membezakan antara “Sunat” sebagai salah satu daripada hukum Syarak Taklifi yang lima dengan “Sunnah” yang menjadi sumber Syariat yang paling utama selepas al-Quran?

Eloklah pemimpin PAN berhenti menyalahgunakan nama Almarhum Tok Guru Nik Aziz untuk cuba mendapatkan sokongan rakyat kepada parti mereka kerana bukan hanya ia akan menjatuhkan martabat mereka malah ia juga tidak akan membawa mereka ke mana-mana kerana ahli dan pemimpin PAS mengenali pemikiran sebenar Almarhum. – HARAKAHDAILY 5/5/2018