Tragedi Memali: Mahathir penipu sebenar

tunM L

TIBA-tiba Pengerusi PH, Tun Mahathir Mohammad menggelar Presiden PAS sebagai penipu dalam kes Memali dan kafir-mengkafir Umno.

Advertisement

Telahan itu dibuat ketika dia dicemuh pelbagai pihak angkara keceluparan mulutnya mendakwa syuhada Memali sebagai “Mati katak”. Walaupun telah memohon maaf kerana isu “Mati katak”, dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula telah memaafkan Mahathir, namun kebiadaban Mahathir tidak terhenti dengan permohonan maaf itu.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu ego membelasah Tuan Guru Abdul Hadi dengan menuduh Presiden PAS itu menipu.

Laporan Sinar Harian 5 Mei bertajuk Tragedi Memali: Tun Mahathir dakwa Hadi menipu.

Laporan itu menyebut “Calon Perdana Menteri PH, Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana terpaksa mengeluarkan kenyataan “Mati katak” terhadap mangsa Tragedi Memali.”

Mahathir mendakwa, Presiden PAS itu banyak kali menipu orang ramai sehingga menjadi punca beliau terpaksa mempertahankan diri.

“Saya tidak mahu kata-kata apa mengenai Memali tetapi Hadi suka menipu seperti dia kata saya terlibat (dalam Tragedi Memali), (kemudian) dia kata Lim Kit Siang (Penasihat DAP) mempergunakan saya dan selepas itu dia sebut PAS tidak pernah menyebut Umno sebagai kafir.

“Sedangkan seluruh dunia tahu tetapi dia kata tidak, jadi saya kena tegaskan dia menipu,” kata Mahathir.

Kenyataan Mahathir ini memberi gambaran sebenar bahawa diktator tua ini tidak pernah insaf dan sesal dengan segala tindakan yang telah dibuat selama ini.

Malah semakin hari makin menjadi-jadi keceluparannya. Umum mengetahui bahawa bekas orang kanan Mahathir, Tun Musa Hitam ada mendedahkan bahawa Mahathir tidak berada di luar negara, sebaliknya berada di Malaysia ketika Peristiwa Memali berlaku.

Jika Tun Musa Hitam menipu, mengapa Mahathir tidak menyaman Musa dan apakah yang mahu dirahsiakan oleh Mahathir?

Dalam isu Memali, PAS pernah menegaskan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat secara bebas punca tragedi ini.

Jika PAS menipu, masakan Usul Siasatan Bebas ini dikemukakan untuk mencari kebenaran? Ini sudah cukup membuktikan bahawa Mahathir banyak bermain wayang sejak memerintah hingga kini.

Sebagai contoh, suatu masa lalu semasa Pak Lah masih menerajui negara, Mahathir bertindak keluar Umno dan selepas berjaya menjatuhkan Pak Lah, beliau kembali ke pangkuan Umno semula.

Di zaman Najib selepas anaknya tidak mendapat tempat dalam Kabinet dan terlepas kerusi Menteri Besar Kedah, maka Mahathir mula menyusun strategi duduk bersama PH untuk memastikan cita-cita menaikkan anaknya tercapai dan memastikan rahsia 22 tahun pemerintahan kuku besinya tidak terburai.

Mahathir hanya mahu selamatkan kedudukannya, kedudukan anaknya, bukannya kepentingan rakyat. Ini jelas dan nampaknya pemimpin PH seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mohammad Sabu yang pernah menggelar Mahathir dengan pelbagai gelaran buruk tertipu sekali lagi dengan permainan politik bekas Presiden Umno itu.

Berapa banyak skandal berlaku di zaman Mahathir dihentam Kit Siang, Guan Eng dan Mat Sabu, namun semuanya digelapkan kerana inilah sikap dan tabiat Umno-BN yang kini mula meresap ke dalam PH yang dikepalai Mahathir. Inilah sindrom penafian yang tetap wujud dan kini meresap ke dalam PH, malangnya rakyat sekali lagi sedang cuba ditipu.

Ingat sahaja peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim dengan segala pembongkaran skandal seks luar tabii, dan dibalas pula Anwar dengan pembongkaran skandal kewangan yang dilakukan Mahathir bersama pemimpin Umno ketika itu?

Apakah segala pembongkaran ini hanya satu sandiwara atau penipuan sahaja apabila kini kamu semua duduk sepentas untuk bersatu mengejar kuasa?

Apakah rakyat selepas ini bisa sahaja melihat penipuan Mahathir andai BN menang dan Najib tidak lagi jadi Perdana Menteri dan Mahathir kembali semula ke pangkuan Umno?

Atau jika PH menang, segala skandal silam Mahathir dan kroni akan digelapkan begitu sahaja?

Jangan lupa Mahathir juga pandai memainkan watak propagandis berwajah Nasionalis kononnya sedangkan seluruh hidupnya selama 22 tahun menerajui negara, beliau juga memulakan Kronisme, Nepotisme, akta menjerat rakyat, pembinaan projek mega berbillion Ringgit, menghina Islam, menghalang Hudud dan menghina Rasulullah S.A.W.

Rakyat khasnya mangsa Memali tidak akan lupa dan tertipu dengan Kleptokrat tua itu yang tidak pernah walau sekali menyatakan permohonan maaf kepada balu-balu dan anak-anak syuhada Memali.

Seperti kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, benar bahawa Tun Mahathir tidak pernah anti-Umno-BN sebaliknya sekadar mendendami Datuk Seri Najib Razak. Justeru itu, serangan beliau lebih terarah kepada PAS, dan PAS kekal menjadi musuh utama bekas Presiden Umno itu.

Ingat, Mahathir menggelar para syuhada Memali yang telah gugur sebagai “Mati katak” sedangkan tragedi hitam itu adalah angkara kezaliman rejim pemerintah beliau 32 tahun yang lampau.

Kalau isu Memali ini Mahathir boleh bermain sandiwara, maka apalah sangat andai dia berkuasa semula nanti, maka pemimpin PH dan rakyat bisa saja ditipunya untuk kesekian kali.

Ubahlah negara, bukan bersama PH bukan bersama Umno-BN, tetapi perubahan harus digerak bersama Politik Matang dan Sejahtera, politik fakta bukan auta.

Ayuh rakyat, usah tertipu dengan Umno-BN dan PH, ubahlah masa depan negara bersama PAS demi kesejahteraan dan keharmonian bersama. Jangan nanti, keluar mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau. – HARAKAHDAILY 5/5/2018