Umno guna sumpah paksa pengundi

KOTA BHARU: Umno dikesan menggunakan taktik sumpah baiah menjelang detik akhir kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan mengumpankan duit kepada pengundi.

Advertisement

Perkara itu dikesan berlaku di Parlimen Jeli dan Pasir Puteh.

Borang akuan sumpah itu berbunyi; “Wallahi Wabillahi Wattallahi.. Nama____ No. Kad Pengenalan____ ‘secara sukarela bersumpah akan balik mengundi calon BN peringkat Dun dan Parlimen pada PRU14. Saya juga akan merahsiakan baiah ini daripada pengetahuan sesiapa.

“Jika saya ambil sumbangan ini dan ingkar sumpah saya ini, saya rela terima laknat dan azab daripada Allah S.W.T”. (Foto: Che Abdullah Mat Nawi menunjukkan format borang sumpah yang digunakan Umno.)

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato’ Dr Johari Mat berkata, sumpah baiah bagi meruntuhkan kerajaan yang ditadbir berasaskan Islam tidak terpakai.

Katanya, sumpah seperti itu tidak perlu dibayar kafarah kerana melanggar syarat sumpah yang tidak boleh dibuat secara terpaksa.

“Sumpah itu seakan-akan menghalang pelaksanaan Islam di Kelantan yang telah dilaksanakan Kerajaan PAS sejak akhir 1990.

“Sumpah tersebut perlu dilanggar kerana cuba memaksa sesiapa yang menerima bantuan daripada pemimpin Umno perlu bersumpah mengundi parti itu.

“Sedangkan tanggungjawab kita sebagai orang Islam untuk melaksanakan apa yang disuruh Allah Taala seperti dilaksanakan Kerajaan PAS sekarang,” katanya yang pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan hari ini.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, Umno benar-benar terdesak sekarang sehingga terpaksa menggunakan taktik sumpah bagi memaksa pengundi menyokong mereka.

Katanya juga PAS akan berbincang lanjut isu tersebut dengan pihak berkuasa bagi mengelakkan agama dipermainkan dengan sumpah bagi meruntuhkan Kerajaan Islam Kelantan. – HARAKAHDAILY 5/5/2018