Dakwaan kerjasama dengan Umno berniat jahat

DAKWAAN PAS akan bekerjasama dengan Umno adalah tuduhan berniat jahat.

Advertisement

Dakwaan ini sengaja diada-adakan oleh mereka yang hendak memburukkan PAS.

Berbanding dengan parti pembangkang-pembangkang lain, PAS adalah parti yang paling banyak menerima kesan dari kezaliman dan penindasan Umno dan Barisan Nasional.

Pertembungan di antara PAS dan Umno telah berlaku sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Lebih 200 pemimpin dan ahli PAS telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pemimpin tertinggi PAS seperti Presiden PAS ketiga, Dr Burhanuddin Al-Helmi, juga pernah ditahan di bawah akta tersebut.

Kesengsaraan ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi telah wujud akibat dasar pilih kasih Umno. Ada yang telah dinafikan bantuan-bantuan dan peruntukan-peruntukan kerajaan seperti subsidi baja dan biasiswa pelajaran. Kampung-kampung yang dikenal pasti menyokong PAS tidak mendapat kemudahan awam seperti jalan tar. Gerai-gerai penyokong PAS telah dirobohkan.

Peristiwa Memali pada 19 November 1985 telah mengorbankan 14 orang pimpinan dan ahli PAS akibat tindakan Kerajaan Umno-Barisan Nasional. Ahli-ahli PAS tidak akan lupa kepada tragedi yang berlaku di Kg Memali, Baling, Kedah itu.

Pilihan Raya Kecil Padang Terap pada bulan Januari 1985 melihat seorang penyokong PAS, Allahyarham Osman Talib, terkorban di dalam pertembungan dengan penyokong-penyokong Umno. Puluhan penyokong-penyokong PAS telah cedera akibat ditetak, ditikam dan dipukul dengan senjata tajam, besi dan botol.

Kerajaan Negeri Kelantan sejak diperintah oleh PAS sentiasa diberi layanan kelas kedua malah mungkin kelas ketiga. Peruntukan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dilambat-lambatkan. Begitu juga Kerajaan Negeri Terengganu ketika dikuasai oleh PAS juga telah dianaktiri oleh Kerajaan Persekutuan. Royalti petroleum yang diberikan ketika Barisan Nasional memerintah telah ditarik balik. Kelantan juga telah dinafikan royalti tersebut.

Persempadan semula yang diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini juga bertujuan untuk mengalahkan PAS di Kelantan dan merampas negeri tersebut. Terdapat kerusi-kerusi Dun di mana PAS telah menang tipis telah dirombak semula untuk memudahkan Umno memenanginya. Oleh yang demikian PAS telah menentang persempadanan ini di dalam dan di luar Parlimen. Ini bertentangan dengan fitnah yang menyatakan PAS menyokong persempadanan ini. Rujuklah kepada Hansard (Penyata) Parlimen untuk melihat bagaimana Ahli-ahli Parlimen PAS berbahas dan mengundi.

Maka jelas sekali PAS adalah parti yang paling tegas menentang kerjasama politik dengan Umno. Ahli-ahli PAS tidak akan membenarkan ini berlaku. Terdapat parti-parti lain yang pernah menyatakan bersedia untuk mengadakan kerjasama politik dengan Umno tetapi ia tidak dibesar-besarkan. Hanya PAS yang menolak kerjasama politik ini yang sentiasa dituduh.

DATO’ ISKANDAR A. SAMAD 
Calon PAS N.21 Pandan Indah
6 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 6/5/2018