Kajian: Kekal Kelantan, tawan Terengganu

KUALA LUMPUR: Menurut kajian penyelidik Rajaratnam, PAS bersama Gagasan Sejahtera dijangka bakal mengekalkan penguasaan di Kelantan dan merampas Terengganu daripada Barisan Nasional.

Advertisement

Demikian dinyatakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Beliau berkata, dapatan kajian tersebut bertepatan dengan dapatan hasil culaan yang dibuat oleh jentera PAS.

Katanya, dapatan kajian tersebut mengiyakan bahawa Gagasan Sejahtera sedang mendahului trend sokongan di seluruh negara.

Rajaratnam School of International Studies merupakan salah satu entiti yang berautonomi sendiri di Nanyang Technological University yang diwujudkan bertujuan untuk mengkaji hal ehwal strategi dan antarabangsa di sekitar Asia Pasifik.

Tolak kempen melampau terhadap Presiden PAN

Kamaruzaman yang juga Jurucakap Gagasan Sejahtera menerangkan Gagasan Sejahtera menolak kempen yang melampau dan tidak bertamadun yang digunakan terhadap Presiden  PAN, Mohamad Sabu.

Justeru, beliau menyeru kepada semua pihak termasuk parti politik yang bertanding supaya mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dan mengelakkan daripada pendekatan politik yang jelik sedemikian.

Presiden PAN sebelum ini dituduh oleh seorang ahlinya yang bernama Rizal Bakar bahawa beliau terlibat dalam skandal bersama dengan seorang wanita.

PAS melalui Timbalan Presidennya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa mengambil pendirian enggan campur tangan dan menolak dakwaan skandal melibatkan Mohamad selagi belum terbukti kebenarannya. – HARAKAHDAILY 6/5/2018