Selepas 3 tahun baru Mahathir ziarah kubur

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi kubur Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ini.

Advertisement

Ketuanya, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pemuda PAS akan menyediakan kemudahan termasuk penginapan percuma kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Saya mengingatkan menziarahi kubur adalah ibadah yang digalakkan dalam Islam, namun ia menjadi janggal apabila semua pemberita dijemput membuat liputan.

“Saya bimbang selepas ini akan ada pula aktiviti Solat Dhuha Tun Mahathir dan diminta wartawan buat liputan,” katanya pada sidang media media di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di sini, hari ini.

Pagi tadi Mahathir dikatakan akan melawat kubur Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Pulau Melaka, namun seorang ahli keluarganya mengunci pintu masuk ke kawasan perkuburan berkenaan.

Ahmad Fadhli yang juga calon PAS bagi Parlimen Pasir Mas berkata, lawatan Pengerusi PH ke pusara Almarhum Tuan Guru jelas bagi kepentingan politik.

“Mengapa ziarah tersebut baru dibuat pagi tadi selepas lebih tiga tahun mantan Menteri Besar Kelantan itu meninggal dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2018