Wajib tolak politik fitnah dan persepsi negatif

BUDAYA fitnah dan persepsi adalah satu budaya negatif yang mesti ditolak kerana menimbulkan ketegangan dan pertelagahan antara masyarakat. PAS dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) mendidik masyarakat berpolitik cara Islam yang terpimpin dengan akhlak Islam.

Advertisement

Keghairahan dalam berpolitik demi mendapatkan sebuah kemenangan sehingga sanggup menghalalkan segala cara adalah bertentangan dengan Syariat Allah SWT. Sedangkan dalam Islam telah digariskan dasar dan panduan dalam menjaga perkara yang fardhu, menjauhi perkara yang diharamkan serta tidak melampaui batasan agama.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُودًا فَلاَ تَعْتَدُوهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنْتَهِكُوهَا

“Sesungguhnya Allah telah menfardhukan sesuatu kefardhuan maka jangan kamu tinggalkannya, Dia telah menetapkan batasan, maka jangan kamu melampauinya dan Dia telah mengharamkan sesuatu maka jangan kamu cerobohinya.”

[Riwayat Dar al-Quthni dan selainnya]

Berpolitik cara Islam adalah untuk mendatangkan maslahah dan menolak kemudharatan dalam kehidupan manusia berpandukan acuan wahyu Ilahi. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu al-Qayyim berkenaan tujuan pensyariatan agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T ke atas manusia:

فَإِنَّ الشـرِيعَةَ مَبْناها وَأَساسَها عَلَى الحِكَمِ وَمَصالِحِ العِبَادِ فِي المَعَاشِ وَالمَعَاد، وَهِيَ عَدْلٌ كُلُّها، وَرَحْمَةٌ كُلُّها، وَمَصَالِحٌ كُلُّها، وَحِكْمَةٌ كُلُّها

“Maka sesungguhnya Syariah Islam itu dasar dan asasnya terbina di atas hikmah dan kemaslahatan untuk Hamba-hamba Allah dalam kehidupan dunia dan akhirat. Syariah Islam itu bersifat adil, sebagai rahmat, menjaga maslahah dan mempunyai hikmah dalam semua perkara.”

Berbeza dengan politik cara Barat yang semata-mata bermain dengan persepsi dan fitnah bagi memburukkan pihak lawan demi meraih kemenangan. Allah S.W.T memerintahkan agar menyelidiki akan kesahihan sesuatu berita yang tersebar.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kesahihannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

[al-Hujurat: 6]

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak kepada seluruh pengundi untuk menolak segala budaya politik yang mengandungi unsur fitnah dan persepsi negatif kerana ia jelas diharamkan oleh Islam. Maka setiap pengundi mestilah pandai menilai dan mengkaji kesahihan sesuatu maklumat yang datang daripada pihak berautoriti dan selayaknya agar pertimbangan yang betul diambil semasa undian dilakukan nanti.

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/5/2018