Tawaran PAS berpotensi lonjak ekonomi umat

PERMATANG PAUH: Peruntukan khusus untuk Wakaf Pulau Pinang seperti yang ditawarkan PAS negeri dalam manifestonya berpotensi melonjakkan ekonomi umat Islam di negeri ini.

Advertisement

Calon PAS bagi P.044 Permatang Pauh, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kelebihan dan keuntungan Tanah Wakaf yang diuruskan dengan baik bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup umat Islam malahan orang bukan Islam juga merasai manfaatnya.

Mengulas lanjut mengenainya, Ustaz Afnan mengambil contoh pewakaf bernama Seetee Aisah telah mewakafkan tanahnya pada tahun 1901 untuk diuruskan dan dibangunkan sehingga ia mampu meraih keuntungan berlipat kali ganda sekali gus memberi jaminan kesenangan hidup kepada keturunan beliau hingga ke hari ini.

“Semasa saya masih Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, kami terjemahkan wasiat Seetee Aisah yang ditulis dalam bahasa Inggeris-Latin sebagai, pertama, hendaklah digunakan (hasil urusan Tanah Wakaf) untuk membayar bil elektrik Masjid Permatang Pauh.

“Kedua, membiayai pengajian mereka yang mahu mengaji (belajar) di Makkah, buat kenduri arwah suaminya manakala lebihan duit (hasil) diberikan kepada anak, cucu-cicit Seetee Aisah,” ceritanya.

Ujarnya, hasil pendapatan Tanah Wakaf Seetee Aisah mencecah RM 300,000 sebulan yang mana baki pendapatan tersebut dimasukkan ke dalam Yayasan Seetee Aisah untuk keperluan keturunan beliau.

Kini, ujarnya bangunan Wakaf Seetee Aisah yang tersergam indah di tepi Lebuh Raya Daerah Seberang Jaya, membuka banyak peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di situ.

“Tengok macam mana manusia sehebat seperti Seetee Aisah, tahun 1901 (telah) wakaf tanah tapi manfaatnya berterusan untuk manusia lain.

“Keturunan beliau tidak perlu hidup merempat di tanah air sendiri. Inilah kelebihan, kekuatan hikmah sistem wakaf dalam ekonomi Islam,” katanya.

Ulasnya yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Sistem Wakaf juga boleh dibangunkan untuk pelaksanaan Sistem Pendidikan melalui pembinaan Universiti-universiti dan lebuh raya.

“Yuran Universiti jadi rendah apabila dibangunkan Universiti di atas tanah wakaf dan rakyat tidak perlu lagi membayar tol dengan pembinaan lebuh raya melalui Sistem Wakaf.

“Jadi kesannya, kos pengangkutan menjadi lebih rendah dan harga barang mentah menjadi murah, peniaga-peniaga kecil pula boleh berniaga produk mereka sendiri dari Utara ke Selatan tanpa perlu lagi bimbang untuk membayar tol,” jelas beliau.

Terangnya, agihan lebihan hasil kekayaan orang-orang kaya di negara ini juga dapat membantu rakyat melalui Sistem Wakaf.

Justeru itu, Ustaz Afnan berkata pelaksanaan ini hanya mampu direalisasikan jika rakyat memberi mandat kepada PAS dan Gagasan Sejahtera pada 9 Mei ini. – HARAKAHDAILY 6/5/2018