PRU14: Antara dua jenis agamawan

DALAM membentuk dan membina negara, setiap orang inginkan sesuatu kepada negara yang tercinta. Bagi yang beriman, mereka yakin bahawa politik tidak terpisah dengan Islam.

Advertisement

Menuju kepada kemuncak pilihan raya kali ke-14 ini, kita juga dapat lihat dua kutub yang agak berbeza dan jelas. Kalau dahulu, agamawan yang cuba mendorong untuk berlaku pemisahan agama dalam panduan berpolitik adalah dari Umno-BN.

Namun apabila berjumpa dengan rakyat dan pengunjung surau masjid, mereka boleh pula berpusing-pusing memberikan hujah dan alasan. Kini, ia agak berbeza, agamawan sebegitu banyak pula di pihak pembangkang yang terkesan dengan agenda Neo-Sekularisasi Barat yang masuk dengan jarum-jarum Liberalisasi yang mengelirukan lagi orang-orang Islam.

Agamawan yang menyokong PH: Diam terhadap fitnah agama, tetapi lantang pula menasihati orang jangan tunggang agama. Dari pangkat Mufti kepada Pensyarah Universiti bertitlekan Dr atau Profesional Agama, PH masih ada aset di kalangan agamawan.

Malah calon-calon PH juga ada dari lulusan agama. Namun, konsep dan pemikiran selari dalam berpolitik kali ini. Apatah lagi, dukungan besar sebahagian agamawan PH datang dari serpihan kumpulan dakwah seperti Ikram atau Jim. Mereka cepat menuduh lawan mereka, PAS sebagai tak faham bagaimana membawa Islam dalam masyarakat majmuk.

Lantas mengatakan PAS cuba bawa konotasi yang menakutkan umat Islam dengan salah faham terhadap Zimmi dan Harbi. Malah, ada yang sengaja menghurai secara sinis pula apabila ada pemimpin PAS mengaitkan dengan pertolongan malaikat dalam perjuangan Islam.

Mereka lupa, PAS adalah antara gerakan Islam awal dunia yang terlibat dengan demokrasi dan paling tua dalam sejarah politik Islam dan demokrasi. Isu Zimmi atau harbi, tiada yang disalah faham, melainkan mereka sengaja putar belit untuk menunjukkan Pseudo Problem yang kononnya mereka mahu juarai.

Sedangkan, ilmu agama yang ada, banyak sekali membenarkan tindakan PAS supaya semua ukuran tindakan politik, semestinya dilihat dengan kaca mata Syariat dan panduan Islam.

Namun, satu yang boleh dilihat kepada hujah-hujah agamawan yang menyokong PH ini, kebanyakan mereka langsung tidak berani menggunakan dalil asas dalam penghujahan, sebaliknya menggunakan logik material dalam mengukuhkan sokongan mereka.

Sebagai contoh, kenapa perlu sokong dan bersama pencuri, yang dimaksudkan kepada Umno-BN. Namun realitinya, keadaan begitu bukan Qatie dan masih bersifat Zhann dan secara umum.

Mereka kata perlu jatuhkan kezaliman dulu, namun tidakkah dalam al-Quran, kezaliman paling besar bersifat Syirik dan bersama orang-orang yang menyekat perkembangan Islam secara lantang dan zahir. Sedangkan yang sebenar, perjuangan mengikut Islam adalah menaikkan Deen Islam dan menafikan sistem cara hidup selainnya.

Selagi sistem yang ada tidak dibawa dengan panduan Islam, maka perjuangan menangkap pencuri yang diinginkan sia-sia. Kerana Undang-undang hari ini, banyak memberi keluasan kepada jenayah Kolar Putih dan Biru berleluasa.

Agamawan yang menyokong PAS, yang tidak takut mengemukakan dalil dan hujah secara langsung. Agamawan yang menyokong dan pendukung PAS tidak mengalami tugas sukar, berbelit lidah untuk terus menjadikan Islam sebagai panduan memilih dan berjuang. Walaupun dituduh penunggang agama dan sebagainya, hujah yang dibentang jelas dari sumbernya. Tidak berbelit bermain logik yang bermacam-macam, tetapi akhirnya tindakan tidak sama dengan ucapan.

Sekularisasi dan Liberalisasi yang berlaku dalam politik demokrasi, ternyata disedari dengan serius oleh agamawan dalam PAS. Ia begitu nyata jika dibincang dalam aspek Awlawwiyat ataupun Maqasid Syariat Islam.

Tujuan utama Islam adalah menjaga agama manusia supaya sentiasa menjadi Hamba Allah dalam setiap perkara. Yang mana, tujuan ini, sering diputar belit oleh agamawan yang lemas dalam arus Liberalisasi demokrasi yang ada. Mereka mendakwa tujuan keadilan dan kebajikan. Namun, mana mungkin mendapat keadilan dan kebajikan, jika tidak melaksanakan Syariat pemberi keadilan dan kebajikan iaitu Allah S.W.T.

Kepada pengundi, anda boleh menilai sendiri. Tapi nilaikan dengan berpandukan Quran dan Sunnah. Bukan dengan akal yang diukur dengan kebendaan. Kerana sememangnya Allah memberi kebebasan memilih. Namun yang satu-satunya mampu bertemu dengan penilaian Allah hanyalah penilaian yang diasaskan dengan dalil Quran dan Sunnah sebagai hujah. Masing-masing boleh lihat, siapa yang lebih dekat dengan hujah Quran dan Sunnah.

AHMAD HAKIMI OTHMAN 
Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Selangor.
7 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 7/5/2018