Deklarasi Ummah

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Advertisement

Menyedari tentang kepentingan kedudukan orang Melayu sebagai penduduk bangsa majoriti di tanah air Persekutuan Malaysia,

Meyakini tentang tangggungjawab terhadap masa depan dan kemajuan generasi anak, cucu-cicit orang Melayu,

Memahami bahawa Persekutuan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi ber-Parlimen dan Raja ber-Perlembagaan yang beridentitikan Islam,

Bahawa dengan ini, “Himpunan Deklarasi Pimpinan NGO/NGI, Tsunami Melayu Islam” pada hari ini, 7 Mei 2018, menyatakan bahawa kami, dengan penuh tawaduk dan ikhlas di hadapan Allah S.W.T dan ummah

1.     Bersetuju semua NGO Islam dan Melayu bersungguh-sungguh mempertahan dan memperkasakan kedaulatan Islam di Malaysia sebagai agama Persekutuan.

2.     Bersetuju bahawa semua NGO Islam dan Melayu mesti bersatu dalam mempertahankan kedudukan agama Islam dan orang-orang Melayu daripada ancaman pengaruh asing yang mengancam keselamatan Negara.

3.     Bersetuju memperkasakan umat Islam dan bangsa Melayu dalam bidang pendidikan, ekonomi, budaya dan teknologi.

4.     Bersetuju mempertahankan kuasa politik orang Melayu dan Islam di Malaysia sebagai kuasa rakyat majoriti untuk menjamin kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan Negara.

5.     Bersetuju dan bersedia untuk menyokong calon-calon Pilihan Raya Umum yang tegas dan berintegriti mempertahankan kedaulatan Islam di negara ini.

6.     Menyeru umat Melayu-Islam untuk keluar mengundi sebagai satu kewajipan warganegara dan memilih calon-calon yang berintegriti serta tegas memperjuangkan kedaulatan Islam dan hak-hak orang Melayu.

7.     Menyedari ada golongan yang cuba untuk menggugat dan menghakis Islam sebagai agama Persekutuan dengan menyokong Akta 164 dan cuba mencadangkan Akta Harmoni untuk diluluskan, maka Ummah menyeru kepada rakyat Malaysia untuk menolak calon dan parti yang menyokong agenda tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke 14.

Gerakan Pembela Ummah (Ummah)
7 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 7/5/2018