Kita bukan lalang tapi mata helang

BANGI: Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar menyatakan ketegasan beliau terhadap rakyat dan institusi awam serta kepada seluruh ahli politik yang mengatakan bahawa peranan NGO hanyalah seperti lalang.

Advertisement

“Ramai yang bercakap kepada saya yang NGO Islam ini seperti lalang kerana tak tahu. Kejap sokong parti A, kejap sokong parti B. Sebenarnya kita bukan lalang, tetapi kita melihat sesuatu itu dari mata helang,” tegasnya dalam Himpunan Deklarasi Pimpinan NGO/NGI di Hotel Bangi Putrajaya, Bangi hari ini.

“Kita bukan NGO yang bercelaru, kita NGO yang menggarap tindakan yang baharu, supaya kita dapat melihat orang Islam yang bertaqwa dan beriman akan duduk di Parlimen, akan duduk di Dewan-dewan Undangan Negeri, mereka mewakili kita untuk memartabatkan Islam.”

Program anjuran Sekretariat Ummah itu dihadiri lebih dari 500 NGO/NGI yang menyatakan kesepakatan bagi mempertahan dan memperjuangkan agenda Melayu-Islam di Malaysia.

Beliau menyatakan penegasan beliau tentang keperluan umat Islam bersama dalam Pilihan Raya Umum ke-14 mengundi calon-calon yang memperjuangkan agenda Melayu-Islam.

Jangan pilih calon anti-Islam

“Kita perlu tolak calon yang anti-Islam, kita juga perlu tolak calon yang mengatakan apabila pramugari-pramugari memakai pakaian yang menutup aurat mereka merupakan cacat otak. Kita juga perlu tolak orang yang mempromosi murtad, mengatakan orang Islam bebas untuk murtad.

“Kita juga perlu menolak orang yang menentang peningkatan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam Undang-undang Jenayah Syariah, Rang Undang-undang 355, kita juga perlu tolak orang yang mempromosikan hak perlindungan untuk bersekedudukan tanpa mengira mereka orang Islam atau bukan Islam,” ujarnya.

Beliau merupakan ahli panel dan Pakar Rujuk Komuniti Syariah di Jabatan Peguam Negara. Beliau adalah antara individu yang kuat membela dan memerperjuangkan isu-isu Islam khususnya dari aspek perundangan. – HARAKAHDAILY 7/5/2018