PH sebenarnya tongkat BN

TERSEBAR satu tulisan propaganda mengenai kenapa PAS meletak dan tidak meletak calon di beberapa kerusi campuran. Tujuannya adalah untuk mengaitkan konon terdapat strategi terselindung antara PAS dan Umno.

Advertisement

PAS letak calon di kerusi bukan Melayu 

Disebutkan kononnya PAS meletakkan di kerusi bukan majoriti Melayu seperti Bayan Baru (39 peratus), Sungai Siput (34 peratus), Teluk Intan (41 peratus), Bentong (47 peratus), Klang (33 peratus) bertujuan untuk pecahkan undi Melayu di kalangan pembangkang.

●     Blue Ocean Strategy

Banyak fakta yang disembunyikan sebenarnya. Pertama, kerusi-kerusi tersebut sebelum ini ditandingi oleh bukan Melayu. Peratus keluar mengundi di kalangan Melayu adalah sangat minima. Lalu PAS meletakkan calon Melayu di kawasan terbabit.

Strateginya, jika BN dan PH berebutkan undi bukan Melayu, PAS fokuskan kepada undi Melayu. Secara tidak langsung, PAS sebenarnya membantu meningkatkan keutuhan demokrasi negara dengan menggalakkan orang Melayu turun mengundi.

●     Tidak ganggu pengundi PH 

Kedua, PH bergantung harap kepada undi bukan Melayu. Undi Melayu kepada PH adalah sangat minima. Teras undi PAS pula adalah Melayu. Maka tidak ada sebab mengatakan PAS adalah pemecah undi kerana kedua parti ini berada pada Pool of Voters yang berbeza.

     Lebih tiga penjuru 

Ketiga, tempat-tempat tersebut sebenarnya bukan hanya pertembungan antara PAS, BN dan PH tetapi turut melibatkan penjuru lain seperti PSM, PRM, MU dan Bebas. Di Bayan Baru, Sungai Siput, Klang berlaku empat penjuru. Ada kawasan sampai 6 dan 7 penjuru.

Di kalangan parti lain yang bertanding itu, kesemuanya diwakili bukan Melayu. Mereka lebih berpotensi untuk memecahkan undi PH. Maka bukan PAS sebenarnya yang memecah undi.

PAS tidak letak calon di kerusi Melayu  

Tulisan tersebut turut menyatakan PAS tidak meletakkan calon di kerusi majoriti Melayu seperti di Sembrong (61 peratus), Pengerang (90 peratus), dan Johor Bahru (53 peratus) bertujuan untuk memberikan Umno menang selesa di sana.

     Faktor jentera  

Fakta yang perlu diketahui adalah, PAS sebelum ini tidak pernah meletakkan calon di kawasan terbabit. Jentera PAS di kawasan terbabit juga minima. Potensi PAS untuk menang di sana tipis. Maka PAS realistik untuk tidak bertanding di sana. PAS fokus kepada kerusi-kerusi yang lebih berpotensi.

     PH juga mahu dua penjuru  

PH juga yang mahu supaya berlaku pertembungan dua penjuru. Sepatutnya mereka bergembira dengan keputusan, bukan terus menyalahkan PAS seperti sikap mereka di Dun Rantau, Negeri Sembilan. Apabila calon mereka tidak layak bertanding, terus salahkan PAS kerana tidak meletakkan calon. Sebelum ini mati-matian kempen dua penjuru. Jelas angkara merekalah BN menang percuma.

Kenapa pula PH bertanding ke Kelantan? 

Sekarang mereka perlu jawab soalan berikut. Sekiranya benar matlamat mereka mahu jatuhkan BN, apa perlu mereka bertanding di Kelantan? Bukankah BN sudah jatuh di sana? Bukankah tindakan mereka hanya memecahkan undi pembangkang dan memberi peluang kepada BN untuk menang? Siapa sebenarnya tongkat BN?

20 Syaaban 1439
7 Mei 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 7/5/2018