Sinar al-Fath saat terkepung dan sabar istiqamah

ORANG yang mengata PAS akan kalah, kebiasaannya mahu melihat PAS kalah dan termakan dari kata-kata orang yang mahu melihat PAS kalah. Itu adalah perkara normal.

Advertisement

Seperti dalam Peristiwa Ahzab, Golongan Musyrikin Quraisy merasakan itulah masa mereka akan menang kerana pertama kali mengepung Madinah. Begitu juga sekutu mereka Bani Ghatfan, yang didorong dengan tawaran memiliki ghanimah di Madinah jika dapat menewaskan Islam ketika itu.

Orang-orang di Madinah, yang lemah iman atau ada penyakit hati, ada juga termakan daripada banyaknya musuh dan kekuatan material mereka. Mereka pula cuba melemahkan semangat orang beriman. Namun orang beriman yang kukuh hatinya faham, pertembungan yang tak dapat dielakkan ini sememangnya janji Allah dan ujian Allah kepada mereka. Sejauh mana mereka yakin dengan bantuan Allah tatkala seolah-olah musuh ada segalanya dan ramai pula kumpulan mereka.

Islam kemudian selamat dalam keadaan tak disangka-sangka. Kesan selamat dari ancaman Perang Ahzab, semangat golongan musuh pula berkurangan dari semasa ke semasa. Malah mereka pula pulang dalam keadaan hampa. Mereka ramai, tapi tak dapat melemahkan Islam. Sebaliknya, bila yakin dengan pertolongan Allah, akhirnya pertembungan selepas itu di Khaybar dan tempat-tempat lain dimenangi Islam.

Malah selepas kekecewaan Perang Ahzab, mereka mula ragu-ragu menahan gelombang Islam walaupun sekadar untuk datang ziarah Makkah dan Kaabah. Mereka gerun untuk berperang dengan umat Islam yang kukuh iman walaupun sekadar berpakaian ihram.

Dalam menegakkan suara Islam dan perjuangan Islam di zaman ini, kita yakin juga begitu. Saat kita dikepung semua, kita sedang diuji sejauh mana keyakinan kepada tujuan kita dan bantuan Allah. InsyaAllah, kita tidak akan kalah walaupun tidak menang segera. Kekuatan musuh akan lebur. Duit mereka habis tiada hasil, semangat mereka luntur kerana putus asa. Maka, sinar al-Fath akan muncul untuk kita yang menegakkan suara Islam.

Ejekan, serangan mereka dengan fitnah dan tipu daya menunjukkan kita berada di pihak benar. Kerana mana mungkin orang yang baik dan benar, melakukan perkara tipu, khianat, fitnah semata-mata mahu menang. Sedangkan cara itu jauh daripada pertolongan Allah S.W.T. Islam akan menang. Setialah dan sabar istiqamah bersama Islam dan petunjuknya.

AHMAD HAKIMI OTHMAN 
Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Selangor
7 Mei 2018
N.12 Dun Jeram, P096 Kuala Selangor – HARAKAHDAILY 7/5/2018