Tiada waran tangkap – Wan Ismail

KOTA BHARU: Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh mengesahkan tiada waran tangkap dikeluarkan terhadapnya berkaitan pembayaran nafkah dua anaknya yang kini tinggal bersama bekas isterinya.

Advertisement

Kata beliau sehingga malam tadi beliau tidak menerima sebarang waran tangkap seperti didakwa sebuah portal berita.

Lagi pun katanya, peguam dilantiknya telah mendapat pengesahan daripada Mahkamah Rendah Syariah, tiada waran tangkap dikelurkan terhadapnya.

“Lagi peguam saya juga tidak tahu menahu mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap saya kerana tiada perbincangan dibuat.

“Cuma peguam bekas isteri saya ada mengemukakan permohonan kepada mahkamah mengenai perkara itu pada perbicaraan sebelah pihak.

“Sedangkan apa yang didakwa kononnya saya tidak membayar nafkah kepada dua anak adalah tidak benar. Ini kerana sehingga 1 Mac lepas lebih RM 78,000 dimasukkan dalam akaun anak saya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Portal berita semalam mendakwa seorang pemimpin PAS berdepan kemungkinan dipenjara sebulan ekoran waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah.

Perintah itu dikeluarkan terhadap Wan Ismail kerana didakwa gagal membayar tunggakan nafkah berjumlah RM 78,000 sejak 2011.

Peguam Syarie yang bertindak bagi pihak bekas isteri Wan Ismail, Siti Aishah Chou Abdullah, Rosmah Mohd Zain dilapor berkata waran tangkap itu dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu.

Wan Ismail juga berkata, berita itu dikeluarkan kerana konpirasi politik bagi menjejaskan namanya sebagai calon PAS di Parlimen Ketereh.

Malah katanya, peguam kepada Siti Aisyah merupakan isteri kepada seorang penyokong PAN dan suami Siti Aisyah pula calon PAN di Parlimen Rantau Panjang. – HARAKAHDAILY 7/5/2018