Tun M, ingatlah kubur bukan politik kubur

SEPANJANG calon pilihan raya berkempen dalam semua pilihan raya, saya tak pernah melihat calon yang menziarahi kubur lawan politiknya. Namun, Tun Dr Mahathir melakukannya.

Advertisement

Ziarah kubur bagus. Hukumnya sunat. Hikmahnya pula agar yang ziarah itu ingat bahawa dia juga, lambat-laun akan sampai ke situ. Harta bertimbun akan ditinggalkan. Pangkat, jawatan, gelaran hebat di dunia tidak dapat membantu menolak azab kubur. Yang dibawa hanya iman dan amal soleh.

Tun ziarah kubur Almarhum Dato’ Fadzil Noor. Sewaktu hidupnya, beliau adalah Presiden PAS, parti yang berusaha menegakkan Islam dan menjaga Islam. Kalau sewaktu hidup, beliau menjaga agama, mudah-mudahan Allah menjaganya di alam barzakh. Adakah Tun mengambil iktibar dari ziarah ini?

Tun juga dikatakan mahu ziarah kubur Almarhum Tok Guru Nik Aziz. Namun, dihalang oleh Nik Adli, anak Tok Guru yang pernah diaibkan secara zalim ketika Tun berkuasa dahulu. Tun pernah mencela Tok Guru dengan pelbagai kata nista. Tun juga pernah mendera Kelantan di bawah pemerintahan Tok Guru sehingga Kelantan dinafikan hak dalam pelbagai sudut. Adakah semua kezaliman ini akan terhapus dosanya hanya dengan sekali ziarah kubur atau sekali minta maaf?

Kaedah menyebut: Haqqullah mabni alalmusamahah, wa haqqulAdamiy mabni alalmusyahah.

Maksudnya: “Hak Allah berdasarkan kemaafan yang mudah, hak manusia berdasarkan setakat mana dimaafkan oleh manusia itu”.

Kalau yang kena zalim maafkan, itu hak dia. Kalau dia mahu menuntut di akhirat, itu juga haknya.

Si mati sebenarnya hidup di Alam Barzakh. Mereka tahu siapa yang ziarah, cuma tidak diizinkan untuk menjawab. Andai kata diberi izin untuk menjawab, agak-agak apa kata si mati itu kepada Tun? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Yang masih hidup menyambung legasi perjuangan Islam Almarhum Dato’ Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz adalah Tok Guru Haji Hadi. Bukan berkecimpung politik mulai hari Penamaan Calon PRU14, tetapi sedari awal hidupnya.

Tun kata Tok Guru munafik, tuduh Tok Guru kafirkan orang lain, sedangkan Tok Guru cuma beritahu batas iman dan kufur untuk selamatkan akidah orang lain agar tidak diazab dalam kubur dan selepasnya. Timbulkan lagi isu-isu lampau yang sebenarnya mendedahkan betapa Tun yang sebenarnya harus bertanggungjawab.

Cukuplah dengan politik kubur, Tun, ingatlah kubur dengan azab atau nikmatnya. Benarlah kata-kata: “Manusia itu tidur, bila mati baru dia tersedar”. – HARAKAHDAILY 7/5/2018