Logo PKR jadi ‘Gharqad’ kepada DAP 

RASULULLAH S.A.W pernah mengisahkan mengenai perang akhir zaman antara orang Islam dengan Yahudi. Dari perang itu Yahudi lari bersembunyi, lalu batu berkata-kata memberitahu kepada orang Islam bahawa Yahudi sedang menyorok di belakangnya, kecuali pohon Gharqad.

Advertisement

Kini perkara sama berlaku di Malaysia dalam pertembungan politik yang wujud. Jika pohon Gharqad menjadi tempat Yahudi bersembunyi, DAP pula menyorok di sebalik logo PKR pada PRU14 ini. Bermakna, logo PKR adalah pohon Gharqad yang terselindung identiti dan agenda DAP.

Tindakan DAP itu adalah satu pemerdayaan dan muslihat yang semata-mata mahu mendapat undi, khususnya kaum Melayu. Parti Cauvinis itu terpaksa melakukan sedemikian setelah menyedari ‘Tsunami Hijau’ bakal tercetus, sedang DAP telah tercedera teruk akibat sikap anti-Islam dan perkaumannya.

Juga kerana DAP akur, dapatan kajian menunjukkan rakyat Malaysia telah melihat hakikat bahawa Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai bersama PKR, PAN dan PPBM sebenarnya diketuai, dikuasai, dikongkong dan dicengkam oleh DAP. Semua mereka dibeli, dicatur dan dipaksa tunduk kepada DAP dengan menggunakan jawatan dan wang. 

Susunan strategik

PAN: Bermula dengan menaja PASMA dan G18 untuk menguasai tampuk kepimpinan PAS. Setelah gagal di Muktamar PAS 2015, lalu diwujudkan GHB diikuti PAN untuk menjadi wadah mengumpulkan orang PAS di situ. PAN memberi kesetiaan (wala’) tinggi kepada DAP yang ‘membiayai’ pemimpin dan parti itu.

PKR: Setiausaha Agung, Dato’ Saifuddin Nasution dan Ketua Biro Agama, Wan Ji Wan Hussin masing-masing dilantiknya sebagai Penasihat Strategik dan Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. DAP menjadikan mereka ‘suntikan’ untuk mempengaruhi keputusan mesyuarat PKR dalam sesuatu kepentingan.

PPBM: Memberi laluan mudah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dinobatkan Pengerusi PH, walhal musuh ketat Penasihat DAP, Lim Kit Siang (LKS). Berpuluh tahun LKS berjuang di Parlimen mengheret Mahathir atas besarnya skandal dan kezaliman, malah bertekad mahu memenjarakan diktator itu. Tiba-tiba mereka sentiasa menampilkan senyuman dan aksi sangat mesra di hadapan kamera.

Gugat dan ancam

DAP telah menjadi parti politik yang sangat bahaya terhadap keharmonian masa depan negara dan rakyat dengan memperalatkan wadah demokrasi untuk mencapai cita-citanya. Terlalu banyak sikap sama ada kebiadaban, provokasi, penglibatan, campur tangan dan melampau melibatkan DAP antaranya terhadap urusan-urusan berikut: 

i.     Memperolok, memperlekeh, mempertikai dan menentang hal ehwal Islam seperti Enakmen Kanun Jenayah Syariah, Akta Mahkamah Syariah atau RUU355, azan, solat Jumaat, zakat, para ulama, mufti dan tokoh Islam. Juga berkaitan kepentingan Melayu dan Bumiputera;

ii.     Mendalangi, mempengaruhi, menyokong, menyebar dan menggerakkan usaha dakyah Evangelis Kristian, Liberal, IFC, Comango, BERSIH dan banyak lagi;

iii.     Menyertai, menggalak dan mempertahankan penganjuran program seperti pesta arak seperti Better Bear Festival dan Octoberfest serta tidak bermoral oleh kumpulan LGBT;

iv.     Menganjur, mengundang dan melibatkan pihak atau entiti asing untuk mempengaruhi mahupun mewujudkan tuduhan, pandangan salah dan berat sebelah atau campur tangan terhadap kestabilan urusan pentadbiran, perundangan, keselamatan dan kedaulatan negara;

v. Menafi, membohongi, mengabai dan menggagalkan pelaksanaan janji atau manifesto atau perjuangan berkaitan hak rakyat atau kepentingan awam. Menjadi punca masalah alam sekitar, tambakan laut, projek mega dan mewah, pengusiran penduduk, pemilikan dan warisan.

Bagasi masalah

Pelan DAP terhadap sekutu politiknya dalam PH telah menimbulkan konflik dengan anggota partinya sendiri dan parti-parti tersebut serta mengalihkan para penyokong mereka. Semuanya angkara hipokrit, opurtunis, pragmatik, curang, khianat dan angkuh pemimpin parti-parti dominasi anak beranak dan kroni iaitu DAP, PKR dan PPBM 

Mereka hanya bergerak dengan membaja suburkan sensasi, kontroversi dan manipulasi. Ironinya, segala dilakukan pemimpin utama mereka merupakan bagasi penuh masalah. Ketika PH mencela kebobrokan BN dan menuduh fitnah PAS, mereka sendiri mengidap penyakit integriti dan maruah melibatkan penipuan, penyelewengan, skandal dan kleptokrasi.

PH tahu mereka masing-masing adalah ‘biawak hidup’ dan pakatan yang mereka jalin itu telah melarikan kendong sokongan undi dimiliki selama ini. Tentulah DAP paling terkesan dan sukar untuk menerima susutan tersebut apatah lagi kemungkinan kehilangan penguasaan yang ada. 

Strategi sesumpah

Bersisa baki yang ada, DAP percaya mereka masih punya imbangan tambahan undi bersumber dari PAN dan PPBM. Ketika sama PKR atas Kerajaan Negeri Selangor diterajui dan PPBM yang berpengerusikan Tun M, menjadi aset penting untuk sokongan wang sebagai ‘kekuatan’ utama.

Tetapi DAP perlu tamak untuk menang dan berkuasa, setelah pula ‘pelaburan dan pengorbanan’ besar dibuatnya terhadap PAN, PKR dan PPBM. Untuk itu, DAP mesti mengendur dan meredakan persepsi sasarannya, yakni pengundi Melayu Islam.
 
DAP berjaya memboneka Tun M dengan mengikonkannya sebagai calon Perdana Menteri Ketujuh. Diwajahkan bekas PM selama 22 tahun itu penuh suci, bertaubat, dimaafkan dan mahu menebus kesilapan. Menjadikan Tun M paling ampuh untuk menghadap kehangatan pertembungan bagi menjatuhkan BN. 

Gelojak pengundi yang juga mahu menjatuhkan BN ‘disatukan’ mereka kepada Tun M. Menggunakan Mahathir juga, reputasi PAS cuba digoncang dengan beberapa isu dan pendekatan antaranya Memali, ziarah kubur dan memuji tokoh PAS. Selain mendapat ‘tenaga diperbaharui’ daripada Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Namun, DAP perasan bahawa pengundi tetap nampak rupa paras sebenarnya yang sangat mudah dikenali. DAP mesti menutup semua potensi isu berbangkit atas kelihatannya. Maka DAP perlu halimunan dan untuk mencapai itu, PH disyorkan bersetuju dengan satu logo yang sebenarnya menjadi ‘Gharqad’ menyelindungi segala cela.

Hakikat logo mata

Persembunyian disebalik logo PKR itu mesti dibongkar di mana terdapat 46 calon DAP dengan 44 daripadanya adalah bukan Islam. PAN pula biarpun hanya bertanding 34 kerusi, tetapi wajib dilihat sebagai proksi DAP yang sangat patuh dan tunduk. Potensi DAP juga terletak pada 32 kerusi yang ditandingi calon bukan Islam dari komponen PH lainnya. Bermakna, terdapat keseluruhan 78 calon bukan Islam dalam PH. 

Faktanya, daripada 78 kerusi ini, 48 daripadanya telah dimenangi pada PRU13 lalu dan mereka yakin mengekalkannya bersama kemenangan tambahan di 18 kerusi bukan Islam baharu. Jika tercapai, bukan Islam PH akan ada sekurang-kurangnya 66 kerusi dan melebihi separuh dari majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Perancangan strategik DAP ini tidak boleh dipandang ringan, bahkan mereka mendapat sokongan para paderi yang turut terlibat dalam kerja-kerja pilihan raya. Ini sebagaimana kursus Polling Agent and Counting Agent (PACA) yang dianjurkan menerusi gereja-gereja. Demikian itu, para pengundi Islam adalah penyelamat, pastikan logo mata (PKR) tidak diundi! – HARAKAHDAILY 8/5/2018