PRU14: Jom buat kejutan…

ESOK 9 Mei adalah tarikh terpenting buat seluruh rakyat Malaysia yang kita cintai ini untuk menentukan masa depan negara.

Advertisement

Ramai dalam kalangan kita, anak muda khasnya telah memutuskan untuk memilih melakar perubahan pada kali ini untuk memilih pentadbiran negara yang baharu, tidak lagi bersama Malaysia di bawah rejim Umno-BN yang nyata korup, menyeleweng dan menindas rakyat.

Selamat mengundi kepada anak-anak muda, dan selamat mengundi kepada semua sama ada yang baharu pertama kali mengundi atau mereka yang telahpun mengundi sebelum ini.

Sedikit renungan buat anak muda dan seluruh pengundi di Malaysia tidak kira latar belakang agama, keturunan dan usia, mengundi hanya sekali dalam lima tahun, ia satu perkara penting dalam kita menilai, memilih tampuk kepimpinan negara:

“Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim)

PRU14 kali ini adalah pilihan raya paling sukar dijangka. Ia dikatakan ibu kepada segala pilihan raya abad ini, kerana Umno-BN sudah berada di penghujung hayat politik bilamana rakyat sudah mula muak dan mual dengan sandiwara politik yang mereka mainkan.

Wang negara menjadi harta mereka walaupun seharusnya kekayaan hasil bumi negara diagihkan kepada rakyat dalam bentuk pelbagai termasuk pendidikan percuma dan tiada cukai yang menzalimi rakyat.

Skandal kewangan 1MDB, Tabung Haji, Felda dan banyak lagi di zaman Dato Seri Najib Razak dan yang terdahulu semasa zaman Tun Mahathir Mohammad, dengan skandal Forex, Perwaja, Bank Bumiputera, MAS dan banyak lagi menjelaskan kepada kita semua bahawa BN tidak lagi layak memerintah negara ini.

BN dan PH adalah sama walau tak serupa. Mahathir , Anwar Ibrahim adalah dari lubuk yang sama, mereka adalah bekas pemimpin Umno. Di zaman mereka, mereka juga amalkan Kronisme, penyelewengan dan segala jenis isme hingga rakyat juga merasa tempiasnya hingga ke hari ini.

Rakyat tidak lupa akta-akta drakonian seperti ISA yang pernah menzalimi Nik Adli Nik Abdul Aziz, juga pernah memenjarakan Mat Sabu. Tetapi mungkin kerana mahu mengejar kuasa ke Putrajaya, maka mereka kini duduk sepentas, makan sepinggan dan tidur sebantal “walau mimpi lain-lain”.

Mereka bersama bekas PM yang pernah digelar sebagai “Diktator” dan yang pernah menyumbat Anwar ke penjara dengan skandal memalukan.

Inilah wajah mereka. Mereka dakwa PAS menjadi pengacau kerana mereka mahu lawan Umno-BN sedangkan sudah sekian lama PAS-lah yang menentang Umno secara semuka tiap kali pilihan raya. Kali ini hampir kesemua kerusi PAS berdepan Umno.

Kali ini persaingan cukup sengit kerana terdapat tiga gabungan yang berlawan antara satu sama lain..

Gagasan Sejahtera, BN dan Pakatan Harapan (PH), maka kita telah melihat ketiga-tiga gabungan ini menjelaskan mengenai manifesto mereka.

Namun bagi anak muda hanya Gagasan Sejahtera yang dikemudi PAS menawarkan banyak insentif menarik antaranya menuju pendidikan percuma dengan penghapusan hutang peminjam PTPTN dan kemudiannya memansuhkan GST satu cukai yang sangat membebankan rakyat selama ini.

PAS memperkenal Kerajaan Teknokrat, dengan penyertaan Kabinet selepas ini dalam kalangan mereka yang berkepakaran dalam bidang masing-masing.

PAS juga menawarkan Wawasan Induk Pembangunan Negara (WINS) yang didasarkan pelaksanaannya mengikut lunas Islam dan keadilan dalam Islam buat semua pihak.

PAS telah membuktikan Budaya Politik Matang dan Sejahtera sebagai “vehicle” menolak politik emosi dan persepsi yang selama ini diamalkan BN dan PH.

Maka dengan semua ramuan ini, anak muda dan pengundi seluruh Malaysia wajar sekali melakar perubahan yang bersifat matang, tidak terjebak emosi dan fitnah.

Marilah bersama-sama PAS dan Gagasan Sejahtera membina Malaysia Sejatera demi kelangsungan negara pada masa akan datang.

Peluang ini hanya setahun sekali, maka ayuh realisasikan perubahan bersama PAS. Paling tidak kita pastikan PAS dan Gagasan Sejahtera dapat mencapai 112 kerusi Parlimen bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

PAS telah terbukti mampu memerintah, cakna rakyat dan membawa dasar Islam yang konsisten, tiada rasuah, malah kali ini menampilkan calon-calon berkaliber yang diyakini mampu mewakili rakyat dan mengurus tadbir negara.

Undi kita penentu masa depan negara. Ayuh Malaysia Sejahtera.

Ketua Pengarang Harakah – HARAKAHDAILY 8/5/2018