Tolak calon BN ugut pengundi

KUALA TERENGGANU: Rakyat dan pengundi N02 Kota Putra disarankan agar menolak calon Barisan Nasional (BN) kerana membuat kesalahan ugutan dan paksaan kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) tersebut.

Advertisement

Timbalan Yang Dipetua PAS Besut, Cikgu Salahuddin Jaafar berkata, kesalahan yang dilakukan oleh calon BN Kota Putra itu amat serius dan perlu tindakan segera.

Ini kerana, katanya kesalahan ugutan dan paksaan itu terkandung dalam Seksyen 5 dan Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Saya dapat maklumat pengundi N02 Kota Putra, calon Barisan Nasional, telah membuat penyataan berupa ugutan dan pengaruh tidak wajar ke atas pengundi-pengundi dalam Program Santai Bersama Abe Adi, pada 7 Mei 2018 lalu iaitu di tapak Kumpulan Belia Nelayan (Kubena) PNK, Kampung Air Tawar, Besut.

“Saya percaya ugutan dan pengaruh tidak wajar itu adalah perbuatan salah oleh calon N02 Kota Putra, di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Saya juga mendapat maklumat mereka yang diugut itu telah membuat satu laporan polis berkait dengan ugutan berkenaan. Antara ugutan itu, meminta pengundi yang juga penternak ikan kerapu hibrid supaya mengambil gambar kertas undi yang memangkah calon BN, sebagai bukti mereka mengundi BN dengan menggunakan kamera handphone,” ujarnya dalam satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Jalan Sultan Omar, di sini, hari ini.

Beliau yang pernah menjadi calon PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu menjelaskan, bahawa semua gambar bukti memangkah BN itu diserahkan kepada tiga individu petugas partinya.

“Gambar-gambar itu diarah supaya dihantar kepada tiga individu iaitu Haji Khotib, Tok Penghulu Mail dan Lias JKKK (Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung). Mereka ini penyokong tegar Barisan Nasional dan pengundi di N02 Kota Putra.

“Saya juga diberitahu calon ini mengugut jika penternak tidak menunjukkan kertas undi yang memangkah calon BN. Lesen Menduduki Sementara (LMS) kolam ikan Hibrid peserta itu tidak akan disambung jika beliau (Mahdi) dipilih sebagai wakil rakyat pada pilihan raya (PRU14) ini dan bangsal tersebut akan disodok dan dirobohkan.

“Ini satu tindakan tidak wajar kerana calon N02 (Mahdi) itu memaksa penternak melakukan perbuatan salah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya Seksyen 5 dan Seksyen 9. Rekod video dan audio kes ini telah pun diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan,” jelasnya.

Kes itu, katanya akan dipanjangkan kepada pihak Jabatan Pendakwaan di mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diambil tindakan selepas ini.

Beliau turut merayu kepada para pengundi khususnya di Dun Kota Putra dan Terengganu amnya agar menolak calon BN yang melakukan kesalahan tersebut.

“Saya mohon kepada para pengundi yang akan mengundi pada hari esok, 9 Mei ini supaya menolak sama sekali calon BN yang telah terbukti melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Saya juga menyeru kepada semua pihak supaya memantau perjalanan pilihan raya ini sebagai satu institusi yang telus ini tidak diresapi dengan unsur-unsur penyalahgunan kuasa, ugutan dan sebagainya.

“Jika ada calon-calon yang berkelakuan seperti ini, saya menyeru pengundi supaya menolak calon pilihan raya itu kerana sudah tidak mempunyai integriti,” tegasnya.

Justeru, kata Cikgu Salahuddin, PAS telah mempertaruhkan calonnya yang berintegriti, profesional dan boleh mewakili rakyat di Dun Kota Putera.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham), Mohd Zabidi Yusof, Ketua Penerangan Luham, Fariz Irwan Dato’ Mustafa serta tiga orang pengundi Dun Kota Putra yang membuat laporan polis terhadap Mohd Mahdi Musa. – HARAKAHDAILY 8/5/2018