Politik Perak unik, 3 kerusi yang menggegarkan

KONFLIK suasana politik di Perak sekali lagi memanaskan pasca PRU14. Di saat Pakatan Harapan bersorak keriangan untuk melangkah ke Putrajaya, tiga kerusi dimenangi PAS di Perak benar-benar mencabar kemenangan mereka.

Advertisement

Ratib UG yang sentiasa meniti di bibir mereka untuk memburukkan PAS kini terpaksa ditelan sambil tersenyum kelat.

Biarpun dipandang lekeh istilah “kingmaker” namun kini taring sebenar kalimah azimat itu membenamkan keangkuhan yang selama ini diperdagangkan.

Biarpun tidak memiliki jumlah kerusi yang tinggi namun PAS telag berjaya menguasai percaturan pembentukkan kerajaan negeri.

Pandangan politik PAS jauh lebih matang dan melangkah satu kondisi baru bila pelbagai tohmahan dilemparkan secara bergaya PAS tampil dengan solusi bersandarkan Islam serta memberikan impak yang maksimum.

Beruntungnya bila politik yang diaplikasikan ditimbang melalui neraca syariat tidak gopoh membuat keputusan dan memberi ketenangan kepada semua pendukung parti.

Nikmatilah politik dengan harmoni serta matang menilai erti ketaatan dan kepercayaan kepada kepimpinan.

Kebijaksanaan pimpinan mengatur langkah dan tindakan sewajarnya diiringi sokongan ahli bahkan menjadi kekuatan untuk istiqamah.

Tragedi PRU13 segar di ingatan PAS

Tarikh 5 Februari 2009 diingati kerana berlakunya rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak.

Pada tarikh tersebut, Umno dengan angkuhnya di Putrajaya dalam satu sidang akhbar telah mengumumkan tiga orang Adun PR meninggalkan PR menjadi Bebas dan menyokong BN dan kerajaan PR hilang majoriti serta tumbang.

PAS ditawarkan jawatan Menteri Besar (MB), kemudian 4 jawatan Exco diperuntukkan kepada PAS dengan syarat kami menyertai Umno.

Kesemua tawaran tersebut ditolak. Umno cuba mempengaruhi Pesuruhjaya PAS ketika itu Ustaz Ahmad Awang untuk memaksa enam orang Adun PAS menyertai Umno, tetapi gagal.

Setiap Adun PR dari DAP dan PKR masih diberi tawaran lumayan untuk melompat sehingga akhirnya mereka berjaya dengan kerjasama BPR ketika itu memerangkap Adun Behrang dan Changkat Jering dengan cara yang tidak bermaruah, sogokan dan suapan, rakaman vcd, ugutan dan menyamar sebagai kontraktor oleh BPR.

Akhirnya berjaya mengena kepada Adun Behrang dan Changkat Jering. Adun DAP dari Jelapang juga berjaya dihasut untuk keluar dan ketiga-tiga mereka hilang diculik pada akhir bulan Januari 2009.

Usaha menghubungi mereka dalam tempoh seminggu gagal sampailah pada tarikh 5 Februari 2009, bila mana ketiga-tiga mereka menjelma di kacaTV jam 5 petang bersama Perdana Menteri dan beberapa menteri kanan Umno di Putrajaya, bagi mengisytiharkan mereka bertiga keluar PR dan menjadi Adun bebas menyebelahi BN.

Situasi sama namun kekuatan berbeza

Kekuatan Pakatan Rakyat tidak kukuh kerana majoriti hanya tiga kerusi sahaja. PR menang 31 kerusi berbanding BN menang 28 kerusi. BN hanya perlu dua kerusi lompat untuk berkuasa semula di Perak. Kerajaan Pakatan Rakyat hanya bertahan selama 11 bulan sahaja iaitu dari Mac 2008 hingga Februari 2009.

Bilangan Adun DAP melebihi PAS dan PKR. Bilangan Adun DAP 18 orang, PKR 9 dan PAS hanya 6 orang sahaja. DAP menang di 18 kawasan majoriti bukan Melayu.

PKR menang 6 kerusi kawasan majoriti bukan Melayu. PKR menang 3 kerusi di kawasan majoriti Melayu/Islam. PAS menang 6 kerusi majoriti Melayu/Islam.

Umno menang 27 kerusi di kawasan majoriti Melayu/Islam. Ini bermakna Melayu/Islam di Perak masih lagi menyokong Umno.

PAS hanya agak kuat di Parit Buntar dan Bagan Serai yang ramai Melayudan Islam. Selama, Batu Kurau, kawasan Perak Tengah dan Perak Selatan kekal milik Umno.

Parit membuat kejutan pada tahun 1999 tetapi terus kecundang dalam dua pilihan raya berikutnya, 2004 dan 2008. Kuala Kangsar, Lenggong dan Gerik terus kukuh bersama pemimpin-pemimpin Umno yang menjadi menteri.

Situasi sama berulang pada tahun 2018 kali ini, 3 kerusi yang dimenangi PAS tanpa gabungan dengan mana-mana parti membuktikan kekuatan PAS dan seluruh jentera.

Namun peranan PAS sebagai kingmaker jelas meranapkan impian dua pihak bagi membentuk sebuah kerajaan apabila tidak mencapai majoriti mudah.

Asakan dan spekulasi mula membedil PAS sehingga tular di media sosial untuk melihat sejauh mana pendirian PAS bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Pada 11 Mei 2018 selepas satu Mesyuarat Khas PAS Pusat telah mengambil satu keputusan yang membuatkan Pakatan Harapan dan Umno/Barisan Nasional terpaksa akur apabila menetapkan tawaran PAS bagi membentuk Kerajaan Perpaduan dengan gabungan tiga parti Pakatan Harapan, Umno/Barisan Nasional dan PAS.

Selain itu, posisi Menteri Besar yang ditetapkan adalah semestinya Islam dan dipersetujui oleh semua pihak.

Kerajaan campuran ini sekaligus menjadi sebuah pentadbiran tanpa pembangkang namun tetap melaksanakan tugas membangunkan negeri serta mengutamakan kepentingan rakyat bersama.

Jika tidak menerima tawaran tersebut pilihan yang ada hanya diadakan Pilihan Raya Negeri bagi memuktamadkan sekali lagi pilihan rakyat.

Penguasaan politik Islam lebih harmoni

Sepanjang tempoh pimpinan tertinggi PAS Perak dan PAS Pusat mengeluarkan keputusan semua pihak sama ada di peringkat lawan dan pendokong menanti penuh debaran.

Ada yang ingin melihat PAS tersungkur di telunjuk Umno/BN dengan mengadakan gabungan bersama sehingga dilemparkan cercaan serta penghinaan.

Pendukung PAS pula terus mengharapkan satu solusi yang bijak diambil oleh pimpinan bagi mengeluarkan PAS dari kemelut agar PAS terus dihormati dan disanjungi rakyat.

Ternyata politik Islam lebih mengutamakan kepentingan umum apabila menawarkan Kerajaan Perpaduan. Sampai masanya rakyat memahami intipati sebenar sebuah kerajaan perpaduan yang selama ini dijadikan peluru menundukkan PAS.

Matlamat kerajaan perpaduan telah disalah tafsir sehingga berakar dalam pemikiran masyarakat bahawa ianya adalah gabungan kerjasama antara PAS dan Umno/Barisan Nasional semata-mata.

Pandangan Majlis Syura Ulamak dan kepimpinan PAS ternyata jauh lebih hebat melangkaui suasana politik yang ada sehingga menjadi tumpuan walaupun hanya memiliki tig kerusi.

Kekuatan PAS pada prinsip yang diperjuangkan tatkala diasak segenap penjuru pendukung dan penyokong PAS tenang berpaut kepada pendirian parti.

Kehebatan PAS dengan memiliki ahli yang sayang dan cinta pada perjuangan Islam tanpa mengutamakan kepentingan tertentu membentuk sebuah pasukan terbaik bersandarkan kepada keikhlasan dan pengorbanan. – HARAKAHDAILY 12/5/2018