Barisan Nasional 2.0

PASCA PRU 14 sangat menjolok mata. Setelah hampir kebanyakan negeri sukar untuk membentuk kerajaan kerana tiada satu parti yang mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Advertisement

Perak, Kedah, Johor, Sabah antara negeri yang telah bentuk kerajaan selepas menyaksikan drama lompat parti bagi memperolehi majoriti mudah. Sementara Pahang dan Perlis masih mempunyai beberapa episod untuk menamatkan adegan drama minggu ini.

Sarawak meskipun telah terbentuk kerajaannya melalui PRN Sarawak tempoh hari, juga mempunyai sinetron tersendiri dalam menyertai arus dan cita rasa “kerajaan lompat” mutaakhir ini.

Bahkan saya juga menjangkakan Kerajaan Pusat yang terbentuk hari ini dengan majoriti mudah akan turut menyaksikan adegan lagak ngeri dengan aksi lompat untuk mencari dua per tiga majoriti.

Andai benar jangkaan saya, terutama berlaku acara lompat dalam guni beramai-ramai, dari Umno ke PPBM atau BN ke PH, maka ia hanya akan membentuk Barisan Nasional 2.0. Tiada apa yang baharu.

Ada beberapa siri dan jenis lompatan yang boleh kita perhatikan. Ada lompat jauh, lompat tinggi, lompat bergalah, lompat kijang, lompat dalam guni dan antara yang menarik ialah lompat setempat. Kita semua tahu effect semua jenis lompatan tersebut melalui pendidikan jasmani yang pernah kita lalui sejak zaman persekolahan.

Seketika dulu, ramai pihak yang mengutuk dan mencela acara lompat parti. Sehingga ia dilihat sangat tidak bermaruah untuk disenaraikan dalam acara yang boleh dipertandingkan pada Peringkat Nasional apatah lagi Antarabangsa.

Tapi kini acara lompat telah dipromosikan dengan begitu meluas. Para pengkritik yang lantang menolak acara lompat sebelum ini telah menjahit mulut untuk bungkam sejuta bahasa. Sebahagiannya merestui justeru ia memihak kepada mereka.

Saya melihat bahana yang sedang menanti di hadapan sangat rencam dan tidak menentu apabila negara dan negeri dipimpin oleh parti pemerintah yang tiada prisip perjuangan dan pegangan ideologi yang mantap dan kukuh.

Lompat parti adalah acara yang melacurkan maruah dan melagang pendirian. Tiada komitmen jauh sekali prinsip perjuangan. Hanya mempamerkan ketamakan dan nafsu ingin berkuasa tanpa hirau ideologi perjuangan.

Jika teraju kerajaan dikendali oleh mereka yang tiada prinsip, tiada pegangan ideologi perjuangan yang mantap sebaliknya mudah silau dek harta dan kuasa, maka akibatnya akan dirasai bila tiba waktunya.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian. – HARAKAHDAILY 13/5/2018