Harapan pasca PRU14

KEPUTUSAN PRU ke-14 menyaksikan perubahan besar lanskap politik negara apabila BN jatuh dan digantikan oleh PH memerintah Kerajaan Persekutuan. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan khususnya kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri baru.

Advertisement

Penghapusan GST yang diumumkan semalam oleh Tun M adalah satu kemenangan buat rakyat yang hampir total menolak BN. Subsidi harga minyak dijangka akan dikembalikan. Pengalaman Tun M menghadapi krisis ekonomi 1997 diharap berjaya memulihkan situasi ekonomi negara. Rakyat mengharapkan satu perubahan besar terhadap kehidupan berekonomi mereka.

Kemenangan PAS di dua buah negeri Kelantan dan Terengganu boleh menjadi tapak untuk memperkukuhkan lagi wawasan politik PAS sebagai sebuah parti Islam yang bercita-cita menjadikan Islam sebagai asas bernegara. Harapan PAS agar kerajaan PH tidak mewarisi sikap lama BN yang tidak menghormati konsep federalisma dan memberikan hak-hak sewajarnya bagi setiap negeri meskipun diperintah oleh parti berbeza dengan kerajaan pusat.

BN khususnya Umno perlu mengambil peluang untuk menilai kembali parti mereka dan belajar menjadi pembangkang. Namun, dalam masa yang sama tindakan melompat parti perlu dihentikan bagi menghormati mandat rakyat. PH pula jika situasi politik terus kurang stabil boleh mengambil inisiatif berani memperkenalkan kerajaan perpaduan (unity goverment) iaitu kerajaan tanpa pembangkang yang melibatkan semua parti.

Malaysia sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan perlu terus memperkukuhkan Islam sebagai teras bernegara. Ia menjadi tanggungjawab besar kerajaan PH khususnya ahli parlimen muslim dalam PH.

Saya doakan agar negara dalam lima tahun ke hadapan berada di tahap jauh lebih baik daripada sebelumnya pada keadaan ekonominya, pentadbiran bersih tanpa rasuah, tiada kronisma dan nepotisma yang tiada kelayakan dan Islam terus diperkasakan. PAS selaku pembangkang di peringkat Persekutuan dan sebahagian negeri sedia berganding bahu bersama kerajaan PH dan BN membangunkan negara dengan Islam. Kita perlu bergerak ke arah kesatuan rakyat Malaysia dengan mengenepikan isu-isu picisan politik kepartian.

Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin 14hb Mei 2018 – HARAKAHDAILY 14/5/2018