MB Terengganu mula tugas dengan tertib

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas pada hari pertama di pejabatnya di Wisma Darul Iman, dengan tertib.

Advertisement

Ketibaannya 8.45 pagi disambut oleh pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Dato’ A Rahman Yahya, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan pegawai serta kakitangan kerajaan negeri.

Seterusnya, beliau dibawa naik ke tingkat 16 pejabat Menteri Besar serta memasukkan kad perakam waktu tepat jam 8.50 pagi.

Selepas itu, Dr Ahmad Samsuri dibawa semula turun untuk solat hajat kesyukuran yang diimamkan oleh mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

Beliau turut menyampaikan ucapan sulungnya di hadapan Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan Wisma Darul Iman.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau turut menekankan agenda Pelan Induk Sejahtera yang bermatlamatkan “Maju, Berkat dan Sejahtera”.

“Maju, iaitu pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang menyelesaikan masalah rakyat. Pembangunan modal insan berteraskan kepada prinsip Islam yang melahirkan masyaraat yang intelek dan berdaya saing. Kelestarian pembangunan berasaskan prinsip Islam.

“Berkat, iaitu prinsip Islam dijadikan asas dalam pentadbiran, ekonomi yang bebas riba, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Penghayatan taqwa menjadi asas terpenting dalam pentadbiran dan pembangunan masyarakat.

“Sejahtera, iaitu konsep keselamatan adalah meminimakan kebimbangan ancaman jenayah, masalah sosial dan kesan bencana kepada rakyat. Konsep berkebajikan aalah menggabung-jalinkan peranan dan sumbangan kerajaan, badan korporat dan rakyat untuk membangunkan negeri. Konsep kemakmuran adalah perkongsian pembangunan dan hasil negeri yang dinikmati oleh semua masyarakat,” ujarnya.

Majlis penyerahan tugas yang dijadualkan hari ini antara mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman kepada Dr Ahmad Samsuri ditunda pada esoknya, 15 Mei 2018. – HARAKAHDAILY 14/5/2018

tertib9

tertib3