Pembangkang yang konstruktif

tatawi

TENTU sahaja masih terlalu awal untuk menilai kedudukan kerajaan yang baru terbentuk ini. Adilnya, mereka perlukan masa bagi membuktikan segalanya. Namun terlebih dahulu ucapan tahniah atas kejayaan Pakatan Harapan dalam PRU ke-14 yang lalu.

Advertisement

Pun begitu, rakyat yang terdiri daripada 5.6 juta pengundi Pakatan Harapan, 3.6 juta pengundi Barisan Nasional dan 2 juta pengundi Gagasan Sejahtera serta selebihnya yang tidak mengundi pasti akan memerhati dari dekat perkembangan kerajaan yang baru dibentuk ini.

Harapan rakyat agar pemerintahan baru negara ini tidak mengulangi kelemahan dan kepincangan kerajaan BN yang lalu. Apatah lagi melakukan penyelewengan sepertimana yang berlaku sejak sekian lama dalam pemerintahan BN. Bukan sahaja merujuk penyelewengan pada zaman DS Najib tetapi juga sejak zaman pemerintahan Tun M seketika dulu. Agar ianya tidak berulang.

Sementara PAS akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif di parlimen mahupun di luar parlimen. PAS terus konsisten dengan pendekatan yang diambil sejak sekian lama. Menjadi penasihat yang betul kepada kerajaan.

Perkara baik, tentu sahaja akan disokong. Sementara perkara yang salah dan bertentangan dengan syariat Islam, akan dibantah oleh PAS.

Mudah-mudahan suara pembangkang lebih didengari dan lebih lebar peluang diberi tanpa sebarang diskriminasi berbanding zaman BN tempohari. Termasuklah peluang menggunakan media massa elektronik dan cetak bagi pihak pembangkang.

Terlalu banyak amalan buruk yang bertentangan dengan semangat demokrasi malah bercanggah dengan syariat Islam dilakukan oleh kerajaan BN dan ianya berada dalam pengetahuan semua. Maka apa yang pentingnya ialah, ia sekali-kali tidak boleh diulang laku oleh kerajaan yang baru ini.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
28 Sya’aban 1439 / 14 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 14/5/2018