Persepsi “Undi PAS adalah undi BN” meleset

RASANYA seperti baru semalam PRU14 ini berlangsung. Hawa panasnya masih terasa. Jika dulunya kita pernah dengar tentang pengundi hantu dan penipuan dalam PRU, tetapi dalam PRU14 ini semuanya telah suci.

Advertisement

Isu tak boleh mengundi disebabkan ada orang lain telah undi untuknya tak didengari, isu lori dari Thailand yang membawa masuk ramai orang dalam Malaysia yang dikatakan sebagai pengundi hantu juga dengan tiba-tiba menjadi suci, isu undi pos dalam PRU14 ini juga menjadi suci dan isu blackout juga telah suci.

Bagaimana pula PRU14 ini menjadi PRU paling suci? Bukankah dari awal bibit-bibit untuk mengatakan bahawa SPR melakukan penipuan telah ada seperti isu-isu di atas dan kemungkinan akan menyebabkan PKR kalah apabila berlaku penurunan peratus yang keluar mengundi iaitu tak sampai 80 peratus di sesetengah kawasan. Apakah persepsi terhadap SPR telah disucikan setelah PKR memenangi PRU kali ini?

Bagi saya, itulah taktik. Sepanjang kempen PRU14 ini pelbagai taktik dan strategi telah dilancarkan oleh semua parti untuk pastikan mereka mendapat kemenangan. Sentimen, persepsi, populariti dan pelbagai lagi kaedah didedahkan. Dari semua ini, ia tergolong kepada tiga kelompok iaitu kelompok yang mahukan Islam, yang mahukan Melayu, dan yang mahukan keadilan.

Dari kebanyakkan strategi berkempen, strategi persepsilah yang berjaya. Persepsi ini adalah andaian atau tuduhan awal untuk membenarkan sesuatu masalah itu dianggap betul.

Betul atau tidak perkara yang dibawa itu tidak kisah, asalkan ia mampu memberi persepsi negatif parti lawan sekali gus memberikan kemenangan kepada parti sendiri. Bunyinya sesuatu yang agak pelik tetapi itulah politik. Politik di Malaysia kini boleh dianggap sebagai ‘permainan persepsi’. Siapa yang tidak berpersepsi tidak dianggap berpolitik.

Dalam Islam pendekatan seperti ini tidak dibenarkan untuk dilakukan. Maka, PAS sedar tentang perkara ini yang kemudiannya memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Dengan budaya ini mereka telah mengatur strategi secara Islam iaitu lebih mengutamakan populariti calon dan hebahan manifesto daripada sebarang persepsi negatif kecuali jika ada asas faktanya.

Dalam masa yang sama PAS telah berusaha untuk menangkis segala tohmahan dan persepsi buruk parti lawan dengan mengutarakan pelbagai fakta. Namun, malangnya rakyat Malaysia lebih senang dengan politik persepsi dari politik fakta.

Antara persepsi yang berjaya menjatuhkan pandangan positif terhadap PAS ialah ‘Undi PAS undi BN’. Persepsi ini telah dihebohkan dalam masyarakat untuk membawa kebimbangan kepada para pengundi bagi menolak PAS di samping kekal menolak BN.

PAS tidak berjaya menolak persepsi ini kerana rakyat lebih percayakan persepsi. Ya, dengan persepsi itu mereka berjaya meranapkan harapan PAS untuk memenangi PRU14 ini walaupun hanya bercita-cita untuk menjadi King Maker di peringkat Pusat.

Setelah selesai PRU14, PKR diumumkan sebagai pemenang dan layak memerintah Malaysia. Walaupun begitu sekali lagi persepsi negatif kepada PAS iaitu ‘Undi PAS undi BN’ diviralkan seolah-olah ada ura-ura PAS akan bergabung dengan BN untuk menafikan kemenangan PKR di Perak dan di Kedah.

Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pun belum bermesyuarat tentang perkara ini tetapi persepsi telah berlegar menghantui rakyat Malaysia. Apa yang menyedihkan ialah sebahagian besar masyarakat percaya dengan persepsi ini dan ada yang mengeluarkan perkataan kesat kepada PAS. Mungkin inilah gaya politik terbaru rakyat Malaysia yang lebih senang dengan persepsi negatif berbanding dari menerima fakta yang benar.

Dalam ketika ura-ura persepsi begitu, dengarnya PKR telah memperoleh majoriti mudah apabila Adun BN ada yang melompat ke PKR. Untuk PKR boleh pula ya.

Sekarang hanya tinggal di Perak. Untuk Perak, Dato Seri Abdul Hadi Awang Presiden PAS mengeluarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang menyetujui bahawa PAS sama sekali tidak akan bergabung hanya dengan BN, tetapi menganjurkan pembentukan Kerajaan Campuran tanpa pembangkang iaitu gabungan PAS, PKR dan BN, namun ia tidak berjaya.

Kenapa? Kerana PKR telah bergabung dengan beberapa Adun BN untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak dan menafikan keputusan PAS. See. Bolehkah kita membuat persepsi negatif kepada pihak lain, sedangkan pihak tersebut tak melakukan hal sedemikian, namun sebaliknya pihak yang melontarkan persepsi pula yang melakukannya. Di mana keadilannya?

Apakah PAS terdesak untuk bergabung dengan BN walaupun sepatutnya PAS boleh bertindak begitu? Apakah PAS terlalu terdesak untuk mengambil Perak dan Kedah walaupun PAS boleh bertindak sedemikian? Tidak, semuanya tidak kerana dari awal PAS berpegang dengan prinsip Islamnya. Siapa yang menerima prinsipnya barulah boleh bergabung, jika tidak jangan haraplah akan ada sebarang gabungan. Tetapi rakyat tak percaya kepada PAS dan lebih percayakan persepsi dan ingin menjatuhkan BN walau dengan cara apa sekalipun.

Akhirnya, bukan PAS yang bergabung dengan BN tetapi PKR-lah yang membuat sedemikian. Walaupun begitu, PKR tetap disucikan. PAS dizalimi dalam hal persepsi ini. Jika PKR perjuangkan keadilan sepatutnya PKR dan penyokongnya perlu minta maaf dengan PAS dari kezaliman ini.

PAS telah berjaya membuktikan bahawa mereka dari awal menolak BN dan menolak PKR. Persepsilah yang meruntuhkan budaya baik Melayu-Islam. Kita semua perlu bangkit untuk sedarkan masyarakat dari amalan penyebaran persepsi negatif ini.

DR MOHD SYAKIR MOHD ROSDI 
Ekonomi Politik Islam
14 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 14/5/2018