Kemenangan kolektif – Dr Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa gembira dan teruja dengan amanah bagi memimpin negeri.
 
Kata beliau, kegembiraan itu dikongsi bersama dengan rakan-rakan lain kerana PAS bergerak secara kolektif dalam kerja politiknya.
 
“Tentunya (gembira) saya dan rakan-rakan yang lain. Sebab, kita bergerak secara kolektif, berkumpulan. Bersama rakan-rakan yang dipilih dan dilantik oleh rakyat. 
 
“Perasaan itu bercampur-campur, macam pasaran saham jugalah. Perasaan gembira, perasaan teruja untuk menjalankan tugas dan amanah. Dalam masa yang sama perasaan takut bagi melaksanakan amanah itu dengan sempurna. 
 
“Sebab, bagi kita (PAS) akhirnya akan dipersoalkan di hadapan Allah Taala, bukan setakat habis atas dunia ini sahaja. Kita (PAS) akan cuba melaksanakan sebaik mungkin,” jelasnya.
 
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media mengenai perasaannya dapat menerajui negeri Terengganu, selepas solat hajat kesyukuran di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.
 
Beliau turut menyarankan kepada rakyat agar menyokong usaha kerajaan negeri yang baik dan betul.  
 
Namun katanya, jika kepimpinan kerajaan negeri ini melakukan kesilapan maka tegurlah dalam melaksanakan tugas tersebut.
 
“Sekiranya kami (kerajaan) melaksanakannya dengan baik dan betul ikutlah. Sekiranya kami melakukan kesilapan, maka tegurlah, bimbinglah dan bantulah kami dalam melaksanakan tugas ini dengan sempurna. 
 
“Rakyat adalah penerima objektif yang paling besar dalam pentadbiran kerajaan negeri Terengganu,” tegasnya. 
 
Selain itu, Dr Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan PAS Terengganu akan mengguna-pakai Bajet negeri yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelumnya.
 
“Oleh kerana, Bajet 2018 itu telah diluluskan (sebelum ini). Kita (PAS) akan mengguna-pakai tetapi dalam masa yang sama sudah tentulah akan berlaku adjustment ataupun perubahan dan penambah-baikan, yang perlu dilakukan untuk memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri,” jelasnya kepad media.
 
Hadir sama pada sidang media itu, Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ A Rahman Yahya dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abd Hamid dan Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat. -HARAKAHDAILY 15/5/2018
Advertisement