Tiada ‘short cut’ dalam perjuangan

PRU14 telah berlalu. Menyaksikan kemenangan besar kepada Pakatan Harapan (PH). Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dan keiltizaman kental PAS dengan prinsip Islam di samping lonjakan sokongan yang semakin meningkat.

Advertisement

Allah memberi peluang kita menyaksikan jatuhnya keangkuhan BN, yang selama ini menganggap Malaysia selamanya untuk BN. Sehingga terpahat keyakinan khurafat di benak sebahagian orang bahawa tanpa BN Malaysia akan hancur dan tidak membangun. Sehingga Umno-BN sewenangnya memperkosa khazanah negara dan harta milik rakyat.

Mereka ada kuasa dan merasakan semua jenayah politik itu boleh ditutup rapi dengan satu calling sahaja. Mereka terus lalai dan lupa. Sehingga saat-saat akhir pilihan raya mereka masih mampu menari terkinja-kinja dan mengutuk parti lawan dengan angkuhnya kerana merasakan kuasa milik mereka selamanya. Namun akhirnya mereka gugur dengan hina.

Allah juga memberi peluang kita menyaksikan kemenangan PH. Gabungan parti-parti yang mendukung fahaman Liberal Sekular. Jika disorot sedari awal, sukar untuk mana-mana peramal politik meramalkan mereka akan menang besar.

Mereka berjaya mewujudkan gelombang “Jatuhkan Najib dan Umno”, mereka berjaya mempengaruhi Melayu Islam menjatuhkan BN tanpa sempat berfikir apa wajah Islam nanti di bawah PH, yang bersatu roh dan jiwa dengan DAP. Media sosial berjaya dipergunakan mereka seluas-luasnya untuk mewujudkan persepsi yang tidak baik terhadap PAS.

Dengan penuh berani mereka lontarkan fitnah terhadap PAS bertubi-tubi tanpa henti, sehingga benar-benar tepu dalam fikiran pengundi. Fitnah sebagai satu dosa yang besar dilupakan seketika. Yang penting PAS perlu dilenyapkan dari ingatan dan kepercayaan rakyat. Untuk mencapai hajat PH terpaksa berani melanggar susila bangsa dan adab beragama. Fitnah adalah senjata.

Allah juga memberi kesempatan kita menyaksikan keiltizaman PAS dengan agenda Islamnya. Budaya politik matang yang melatari perjuangan dan pendekatan dakwah PAS terus dipertahankan. PAS tidak menari mengikut rentak lawan. PAS juga tidak terpengaruh dengan pandangan yang mengatakan PAS akan kalah kalau degil untuk terus bersendirian.

Bagi PAS, Islam adalah segala-galanya. PAS tahu dengan siapa ia boleh bersama dan dengan siapa tidak perlu bersama. PAS bukan parti Liberal Sekular yang boleh bertukar wajah dan warna mengikut selera dan suasana.

PAS ada prinsip. PAS bukan tidak tahu bersatu itu teguh dan bercerai itu roboh. Tapi soalnya bersatu dengan siapa yang boleh membuatkan PAS teguh? Dan bercerai dengan siapa yang boleh membawa kepada roboh? Islam telah mengajar segala-galanya, dan PAS menghayatinya.

Oleh itu, teman-teman, anak-anak dan adik-adik Abnaul Harakah belajarlah dari apa yang disaksikan. Yakinlah, keangkuhan itu akan berakhir dengan kehinaan dan kemenangan yang dicapai dengan fitnah tidak akan kukuh dan kekal. Rakyat tidak akan dapat ditipu selamanya dengan media. Sampai masanya nanti media tidak dihiraukan lagi.

Untuk mencapai sebuah kejayaan yang hakiki, kita perlu bertapak dengan kemas dan tegap. Terpaksa membetulkan segala kesilapan. Terpaksa Istiqamah dengan simpulan keyakinan. Jangan goyah hanya kerana mahukan sebuah kemenangan. Tiada ‘Short cut‘ dalam perjuangan ini.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat  
16 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 16/5/2018