BN 2.0: Sasarkan Kelantan dan Terengganu

tatawi

MULANYA saya turut teruja mengikuti ucapan sulung Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila beliau dibebaskan dengan pengampunan penuh dari DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Advertisement

Namun saya tersentak apabila mendengar komitmen lantang dari beliau untuk menawan Kelantan dan Terengganu pada pusingan akan datang.

Setelah membilang satu persatu negeri yang berjaya ditawan oleh PH, kemudiannya dengan lagak Mr Arrogant, beliau menyebut Kelantan dan Terengganu akan ditawan kelak untuk menyempurnakan kepuasan dan keseronokan mereka.

Bahasa mudahnya, PH mula mewarisi kerakusan Barisan Nasional untuk merampas Kelantan dan Terengganu dari tangan PAS. Meskipun PRU15 masih jauh dan PRU14 baru sahaja berakhir, PH kelihatan tidak sabar mempamerkan sikap dan kemahuan politik rakusnya.

Awalnya saya tumpang gembira atas kemenangan PH yang berjaya menumpaskan BN. Justeru bukanlah mudah untuk menewaskan BN yang berkuasa sejak sekian lama.

Tetapi semalam saya rasa tercabar. Malah saya percaya, anak-anak muda yang bekerja keras mempertahankan Kelantan dari dirampas oleh BN dan memenangi kembali negeri Terengganu, turut rasa dicabar oleh PH menerusi ucapan Dato’ Seri Anwar malam tadi.

Jika itu tekad mereka, maka kami tetap akan bangkit mempertahankan Kelantan dan Terengganu serta menyelamatkannya dari menjadi mangsa rakus BN 2.0 ini.

Kita faham kenapa perlu kita berjuang untuk menjatuhkan BN meskipun kita berbeda ideologi perjuangan. Tetapi, kita juga perlu menyatakan sikap, bahawa tidak ada sebab kenapa kamu patut lawan kami dan menawan negeri yang kami tadbir secara telus, adil, berkebajikan dan mematuhi kehendak syariat.

Format PRU15 kelak pasti berubah. Jika PH bernafsu besar untuk menawan Kelantan dan juga Terengganu kelak, maka PAS semestinya diletakkan dalam posisi siap dan sedia, bukan sahaja untuk mempertahankan Kelantan dan Terengganu tetapi turut merencana kemenangan PAS di negeri-negeri lain.

Perjuangan menegakkan syariat Allah SWT makin mencabar. Memerlukan para pejuangnya terus bangkit dengan semangat juang berlipat ganda disamping bermuhasabah atas pelbagai kelemahan yang wajar diperbaiki. Jangan leka dan lengah, justeru musuh senantiasa rakus dan merancang.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
01 Ramadhan 1439 / 17 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 17/5/2018