Geoeskatologi (1): Makkatul Mukarramah

MAKKAH merupakan negeri yang paling mulia di sisi Islam. Padanya terdapat tanah suci pertama umat Islam iaitu Masjidil Haram. Makkah diasaskan oleh Saidatina Hajar bersama anaknya Nabi Ismail bin Ibrahim.

Advertisement

Sejak zaman Nabi Ibrahim, Masjidil Haram telah dimakmurkan oleh sekalian manusia tidak kira sama ada pada zaman jahiliyah mahupun setelah kedatangan Risalah Akhir Zaman. Ia menjadi tempat perhimpunan terbesar dalam sejarah peradaban manusia sejagat.

Dahulunya Makkah merupakan sebahagian daripada wilayah Hijaz. Lokasinya hari ini terletak di Negara Arab Saudi yang menjadi sebahagian daripada Semenanjung Arab. Ia juga adalah sebahagian dari Negara Asia Barat yang kini menjadi medan pertempuran kuasa-kuasa besar dunia.

Walaupun menjadi tempat paling mulia umat ini, malangnya Makkah berada di bawah penguasaan kerajaan yang memberikan kesetiaan kepada Amerika dan Zionis. Kedaulatan Arab Saudi sendiri adalah kurniaan British sebagai habuan perjanjian sulit menjatuhkan Uthmaniah dan menakluk Baitulmaqdis berjaya dicapai.

Di akhir zaman, Makkah dalam menyaksikan beberapa siri krisis umat yang kronik. Bakal berlaku pertempuran kerabat diraja sebagaimana Hadis Nabi S.A.W:

يقتتل عند كنزكم ثلاثة كلهم ابن خليفة، ثم لا يصير إلى واحد منهم، ثم تطلع الرايات السود من قبل المشرق، فيقتلونكم قتلاً لم يقتله قوم ثم ذكر شيئاً لم أحفظه فإذا رأيتموه فبايعوه ولو حبواً على الثلج، فإنه خليفة الله المهدي

“Akan berperang tiga pihak di sisi Kaabah, kesemuanya dari kalangan Putera Raja. Tidak ada seorang pun yang bakal beroleh takhta yang direbutkan. Kemudian muncul panji hitam dari arah Timur, maka mereka memerangi kamu dengan peperangan yang kamu tidak pernah hadapi. (Kemudian Nabi S.A.W menyebutkan beberapa perkara yang tidak diingati perawi.) Sekiranya kamu sempat dengannya maka berbaiahlah padanya sekalipun terpaksa merangkak di atas salji. Kerana sesungguhnya dialah khalifah Allah al-Mahdi.”

[HR Ibn Majah]

Hadis ini turut disokong oleh sebuah lagi Hadis: 

يكون اختلاف عند موت خليفة ، فيخرج رجل من أهل المدينة هاربا إلى مكة ، فيأتيه ناس من أهل مكة فيخرجونه وهو كاره ، فيبايعونه بين الركن والمقام ، فيبعث إليه بعث من الشام ، فيخسف بهم بالبيداء ، فإذا رأى الناس ذلك أتاه أبدال الشام وعصائب العراق فيبايعونه ، ثم ينشأ رجل من قريش أخواله كلب ، فيبعث إليهم بعثا فيظهرون عليهم وذلك بعث كلب ، فالخيبة لمن لم يشهد غنيمة كلب ، فيقسم المال ويعمل في الناس بسنة نبيهم ، ويلقي الإسلام جرانه على الأرض ، فيلبث سبع سنين

“Bakal berlaku perselisihan saat kematian khalifah. Lalu muncul seorang lelaki (Imam Mahdi) daripada Madinah lari ke Makkah. Kemudian dia didatangi oleh penduduk Makkah lalu membawanya keluar dari rumah dalam keadaan beliau enggan. Beliau lalu dibaiah di antara Rukn Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim.

“Selepas itu datang satu pasukan-pasukan dari Syam untuk memerangi beliau, lalu bumi menelan mereka ketika sampai di kawasan Baida’.

“Apabila manusia melihat peristiwa itu, datanglah para Wali Abdal daripada Syam dan pasukan-pasukan dari Iraq dan memberi baiah kepadanya.

“Kemudian muncul pula lelaki dari keturunan Quraisy dari sebelah bapa dan Kalb dari sebelah ibu untuk memerangi al-Mahdi, namun berjaya dikalahkan. Maka rugilah mereka yang tidak bersama pada ketika itu.

“Al-Mahdi membahagikan ghanimah, memimpin manusia mengikut sunnah Nabi dan istiqamah dengan Islam. Beliau hidup selepas itu selama tujuh tahun.”

[HR Abu Daud]

Menurut Hadis di atas, selain daripada pertempuran kelas atasan, Masjidil Haram juga bakal mmenyaksikan seorang pemimpin dibaiah di hadapan Kaabah. Pemimpin tersebut bergelar al-Mahdi. Beliau bakal memimpin umat Islam sejagat dalam berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Umat Islam seluruh dunia diwajibkan berbaiah dengan beliau sekalipun terpaksa merangkak di atas salji.

Sebelum berlaku kiamat, Makkah bakal diserang dan dihancurkan oleh seorang berketurunan Habsyi sebagaimana Hadis Nabi S.A.W:

يُبَايَعُ لِرَجُلٍ مَا بَيْنَ الرُّكْنِ ‏‏وَالْمَقَامِ ،‏ ‏وَلَنْ يَسْتَحِلَّ ‏‏الْبَيْتَ ‏إِلَّا أَهْلُهُ ، فَإِذَا اسْتَحَلُّوهُ فَلَا يُسْأَلُ عَنْ هَلَكَةِ ‏‏الْعَرَبِ،‏ ‏ثُمَّ تَأْتِي ‏الْحَبَشَةُ ‏‏فَيُخَرِّبُونَهُ خَرَابًا لَا يَعْمُرُ بَعْدَهُ أَبَدًا، وَهُمْ الَّذِينَ يَسْتَخْرِجُونَ كَنْزَهُ

“Seorang lelaki (Imam Mahdi) bakal dibaiah diantara Rukn Hajr Aswad dan Maqam Ibrahim. Baitullah tidak akan dibebaskan melainkan oleh penduduknya. Maka apabila dibebaskan maka tidak akan ditanya tentang kebinasaan Arab. Kemudian akan datang kaum Habsyah lalu meruntuhkannya sehingga tidak dapat dibina sesiapa lagi. Merekalah yang akan mengeluarkan khazanah Kaabah.”

[HR Ahmad]

Bila akan berlaku, kesemua dalam aturan Allah. Namun jika dilihat suasana sekarang berpandukan Hadis-hadis yang lain, ia dirasakan tersangat dekat. Ramai alim ulamak berpendapat peristiwa kemunculan al-Mahdi bakal berlaku dalam dekad ini. Tetapi peristiwa keruntuhan Kaabah akan berlaku di hujung dunia, setelah berlalu era pemerintahan Islam terakhir, ketika hampir tiada lagi orang beriman di atas muka bumi ini.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

1 Ramadan 1439
17 Mei 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 17/5/2018