Geoeskatologi (2): Madinah Munawwarah

MADINAH adalah negeri kedua paling mulia umat Islam. Padanya terdapat Masjid Nabawi sebagai tanah suci kedua umat Islam. Menjadi negeri hijrah Rasulullah S.A.W dan lambang keteguhan politik Islam.

Advertisement

Seperti Makkah, ia juga berada di Negara Arab Saudi. Jarak antara keduanya adalah lebih kurang 450 km. Kelebihan utama Madinah adalah kerana menyimpan jasad mulia baginda Nabi Muhammad S.A.W. Ia berada di kubah hijau di tengah Masjid Nabawi, bersama ar-Raudhah yang merupakan salah satu taman syurga di dunia.

Madinah berbeza dengan Makkah dari sudut penempatan yang lebih tersusun dan permukaan tanah yang lebih landai. Mungkin kerana bandar baru Madinah diasaskan oleh Rasulullah S.A.W sedangkan Makkah merupakan kota metropolitan lama sejak zaman Nabi Ibrahim A.S.

Di akhir zaman, Madinah antara negeri yang diselamatkan dari fitnah akhir zaman terutamanya fitnah Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

اللهمَّ بارِكْ لأهلِ المدينةِ في مدينَتِهِم وبارِكْ لهم في صاعِهِم وبارِكْ لهم في مُدِّهِم اللهمَّ إنَّ إبراهيمَ عبدُكَ وخَليلُكَ وإنِّي عبدُكَ ورسولُكَ وإنَّ إبراهيمَ سأَلك لأهلِ مكَّةَ وإنِّي أسأَلُكَ لأهلِ المدينةِ كما سأَلك إبراهيمُ لأهلِ مكَّةَ ومِثلَه معَه إنَّ المدينةَ مُشتَبِكَةٌ بالملائكَةِ على كلِّ نَقبٍ منها مَلَكانِ يَحرُسانِها لا يَدخُلُها الطاعونُ ولا الدجَّالُ فمَن أرادها بسوءٍ أذابَه اللهُ كما يَذوبُ المِلحُ في الماءِ

“Ya Allah berkatilah penduduk Madinah di Madinah dan berkatilah mereka pada setiap cupak dan gantang mereka. Ya Allah sesungguhnya Nabi Ibrahim, hambaMu dan kekasihMu memohon doa dariMu kepada penduduk Makkah, dan aku pula memohon untuk penduduk Madinah.
Sesungguhnya Madinah dikawal ketat oleh Malaikat. Setiap terowong dijaga oleh dua orang malaikat sehingga tidak dapat dimasuki oleh penyakit taun mahupun Dajjal. Barangsiapa yang menghendaki keburukan pada Madinah, maka akan binasalah ia sebagaimana binasa larutnya garam di dalam air.”

[HR Ahmad]

Walau bagaimanapun, bukan semua orang bakal mendapat perlindungan di Madinah. Mereka yang berada di Madinah di kalangan yang lemah iman atau pura-pura beriman akan dikeluarkan oleh Allah menurut satu Hadis:

لَيْسَ مِنْ بَلَدٍ إِلَّا سَيَطَؤُهُ الدَّجَّالُ، إِلَّا مَكَّةَ، وَالمَدِينَةَ، لَيْسَ لَهُ مِنْ نِقَابِهَا نَقْبٌ، إِلَّا عَلَيْهِ المَلاَئِكَةُ صَافِّينَ يَحْرُسُونَهَا، ثُمَّ تَرْجُفُ المَدِينَةُ بِأَهْلِهَا ثَلاَثَ رَجَفَاتٍ، فَيُخْرِجُ اللَّهُ كُلَّ كَافِرٍ وَمُنَافِقٍ

“Tidak ada satu negeri yang tidak akan didatangi Dajjal melainkan Makkah dan Madinah. Setiap terowong di Madinah dijaga oleh malaikat. Kemudian Madinah bakal bergegar sebanyak tiga kali, lalu Allah keluarkan daripadanya setiap yang kafir dan munafik.”

[HR Muslim]

Madinah juga bakal menyaksikan saat-saat ditinggalkan manusia sehingga merudum segala kegiatannya. Sabda Rasulullah S.A.W:

عُمْرَانُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَرَابُ يَثْرِبَ وَخَرَابُ يَثْرِبَ خُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ وَخُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ فَتْحُ قُسْطَنْطِينِيَّةَ وَفَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ خُرُوجُ الدَّجَّالِ.

“Kepesatan Baitulmaqdis adalah tanda keruntuhan Madinah. Keruntuhan Madinah adalah tanda berlaku perang besar. Berlakunya perang besar adalah tanda pembukaan Kota Costantinople. Pembukaan Constantinople adalah tanda keluarnya Dajjal.”

[HR Abu Daud]

Keruntuhan itu tidak semesti bermaksud negatif sebagaimana kepesatan Baitulmaqdis tidak semestinya bermaksud positif. Madinah bakal dibersihkan oleh Allah S.W.T dari segala ‘kekotoran’:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَدْعُو الرَّجُلُ ابْنَ عَمِّهِ، وَقَرِيبَهُ هَلُمَّ إِلَى الرَّخَاءِ هَلُمَّ إِلَى الرَّخَاءِ وَالْمَدِينَةُ خَيْرٌ لَهُمْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا يَخْرُجُ مِنْهُمْ أَحَدٌ رَغْبَةً عَنْهَا، إِلَّا أَخْلَفَ اللَّهُ فِيهَا خَيْرًا مِنْهُ، أَلَا إِنَّ الْمَدِينَةَ كَالْكِيرِ تُخْرِجُ الْخَبِيثَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَنْفِيَ الْمَدِينَةُ شِرَارَهَا، كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ

“Akan tiba satu zaman di mana seorang lelaki akan mengajak kaum kerabatnya ke arah kesenangan dunia menyebabkan mereka meninggalkan Madinah. Sedangkan Madinah adalah sebaik-baik tempat jika mereka mengetahui. Demi tuhan, tidak keluar seorang pun daripada Madinah melainkan Allah akan menggantikan perkara yang lebih baik di Madinah.
Madinah umpama kiir (alat pembersih besi) yang membersihkan segala kotoran. Tidak akan berlaku kiamat hinggalah Madinah dibersihkan dari segala keburukan sebagaimana kiir membersihkan besi.”

[HR Muslim]

Di dalam Hadis yang dinyatakan pada Siri 1, Imam Mahdi tergolong di kalangan penduduk Madinah. Namun terdapat riwayat lain juga yang menunjukkan Imam Mahdi datang dari arah Timur.

Sebelum berlaku kiamat, Madinah merupakan Negeri Islam terakhir yang dibinasakan:

آخرُ قريةٍ مِن قُرَى الإسلامِ خرابًا المدينةُ

“Negeri Islam terakhir yang bakal dibinasakan adalah Madinah”

[HR Tirmizi]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN) 
2 Ramadan 1439
18 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 18/5/2018