Perang Syaqhab akhiri penjajahan Mughol

EMPAYAR Mughol (Mongol) telah bergerak meluaskan kawasan taklukan mereka sejak 1206M dan akhirnya berjaya menumbangkan Daulah Abbasiyah di Baghdad pada tahun 1258M (656H). Gerakan yang dimulakan oleh Genghis Khan (1155-1227) ini telah membolehkan cucunya, Hulagu Khan (1217-1265) menakluki Baghdad dan meneruskan penjajahannya ke Damsyik di wilayah Syam. Kejatuhan Daulah Abbasiyah di Baghdad telah menyebabkan umat Islam dipimpin pula oleh Dinasti Mamalik yang berpusat di Mesir.

Advertisement

Setelah menubuhkan Kerajaan Ilkhanate Mughol di Parsi, Hulagu telah menguasai Allepo (Halab) di Syam tanpa perperangan dan berusaha menguasai Damsyik pada 1260. Beliau merancang untuk menghancurkan Daulah Ayubiyah di Syam dan Daulah Mamalik di Mesir. Dalam gerakan ini, Hulagu bertempur dan tewas kepada Daulah Mamalik dalam Perang Ain Jalut pada 1262M.

Mughol meluaskan jajahan

Selepas kekalahan di Ain Jalut, Raja Mughol, Mahmud Ghazan Khan (1271-1304) berusaha meluaskan semula penguasaan Mughol ke atas Syam, walaupun beliau telah pun memeluk Islam pada 1295M. Beliau berkeinginan untuk melanjutkan gerakan moyangnya, Hulagu dengan menyerang Damsyik pada 1303M.

Dinasti Ilkhanate ini dikatakan telah memeluk Islam, tetapi tidak mengamalkan Islam dalam pemerintahannya, bahkan bersikap Liberal terhadap agama-agama lain sehingga beberapa ulamak menolak mereka sebagai Kerajaan Islam. Mahmud Ghazan mengatur strategi untuk menjatuhkan kerajaan-kerajaan di sekitarnya atas semangat kebangsaan Mughol, sedangkan ketika ini Kerajaan Islam di Syam baru sahaja menamatkan Perag Salib (1095-1291) dengan tentera Kristian.

Ghazan yang pada awalnya berhadapan dengan pemberontak Mughol seperti Chagatai dan Ogedei, telah berjaya mengatasinya, kemudian Sulemish dari Oirat dan Baltu dari Jalayir memberontak terhadap Ilkhanate di Turki sehingga menghalang rencara Ghazan menyerang Syam.

Ghazan, atas semangat Mughol membina hubungan kuat dengan Khan Agung Yuan dan Mongolia, di mana Temur Khan (Temur Lenk) menghantar tentera ke Parsi pada 1296 untuk mengukuhkan pengaruh Mughol di Asia Barat. Kerana itulah, Ghazan mengatur usaha untuk menjatuhkan kerajaan Islam di Syam dan Mamalik di Mesir.

Serangan Ghazan dan tercetusnya Perang Shaqhab

Dengan kerjasama tentera Kristian Eropah dan sokongan bangsa Mughol, Ghazan telah menghantar tentera untuk menguasai Syam bermula dengan kejayaan mereka menakluk Allepo pada 1299 dalam Perang Wadi al-Khazandar, diikuti oleh kejatuhan Homes dalam gerakan mereka menuju ke Gaza.

Umat Islam yang berhadapan dengan serangan ini telah dipimpin oleh Sultan Nasr al-Qalawun Mamalik dan seorang tokoh ulamak yang memainkan peranan utama iaitu Ibnu Taimiyah. Ibnu Taimiyah berusaha membangkitkan semangat jihad umat Islam yang baru kehilangan Allepo, dan dalam masa yang sama cuba memujuk Ghazan atas nama Islam untuk menghentikan serangan setelah Ghazan memasuki Damsyik pada awal 1300M.

Ibnu Hajar mendakwa panglima Ghazan telah murtad dan memeluk Kristian, yang menyebabkan tentera Salib kembali bersemangat untuk meruntuhkan Islam. Tentera Mughol yang dipimpin oleh Qulthusyah telah bergabung dengan beberapa ketumbukan Kristian, termasuk dari Armenia telah bersiap untuk menawan Damsyik pada April 1303M.

Perang Shaqhab atau Perang Marj as-Saffar tercetus di Selatan Damsyik pada 20 April 1303M bersamaan 2 Ramadan 702 antara tentera Mamalik dengan tentera Mughol yang disokong oleh Armenia. Tentera Islam dipimpin oleh Baibar Jashankir dan Nasr Mohamad Ibnu Qalawun, di samping Ibnu Taimiyah.

Perperangan selama tiga hari ini dimenangi oleh pasukan Mamalik setelah 60,000 daripada 80,000 tentera Mughol berjaya ditewaskan. Seramai 20,000 tentera Islam turut terkorban.

Kejayaan Mamalik mengalahkan Mughol dalam Perang Shaqhab yang berlaku pada 2 Ramadan 702H ini telah membolehkan Daulah Mamalik-Abbasiyah menguasai semula sepenuhnya Syam. Kekalahan Mughol pula telah menamatkan sama sekali gerakan penjahahan Mughol ke atas Syam sejak kekalahan Hulagu dalam Perang Ain Jalut pada 1260, dan Asia Barat tidak lagi terancam oleh gerakan ketenteraan Mughol.

MOHD FADLI GHANI 
Pusat Penyelidikan PAS
2 Ramadan 1439 / 18 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 18/5/2018