Dari hal tiga Abdul Umno

subky

ADA tiga watak yang boleh dikira tiga Abdul Umno dalam musibah yang menimpa dalam parti yang Umno kira keramat dalam PRU14 9 Mei lalu.

Advertisement

Paling menarik ialah Tan Sri Muhammad Muhd Taib, bekas Menteri Besar Selangor. Kedua Dr. Salleh Keruak, Menteri Multimedia dan yang ketiga Dr. Asyraf Wajidi Dasuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selepas tragedi yang dialaminya berkait dengan kes duit tunai berkilo-kilo di lapangan terbang Australia, beliau melepaskan jawatan Menteri Besar. Dia menang kes itu. Perdana Menteri Abdullah Badawi menjadikannya Menteri Luar Bandar dan Ketua Penerangan Umno. Dia masih dikira ketua de facto Umno Selangor.

Bila PM Abdullah digulingkan Najib, Najib mengambil ketua Umno Selangor dan Tan Sri hilang dalam politik. Dia tidak dicalonkan Najib di Selangor.

Tiba-tiba dia jadi ahli PAS. Dia aktif dalam PRU13 dan PRK Kajang membantu calon Dr. Wan Azizah. Pandangannya dikatakan tidak sama dengan PAS yang memihak kepada Menteri Besar Khalid Ibrahim. PAS berbeza pandangan dalam usaha PKR menyingkir Khalid sebagai Menteri Besar.

Ketika sekumpulan pimpinan PAS cuba menggulingkan pimpinan ulama PAS, dia mulai renggang dengan PAS. Dalam krisis PAS itu TG Haji Hadi dan pimpinan ulama selamat. Sekumpunan 18 pimpinan yang gagal menggulingkan pimpinan TG Haji Hadi berkumpul di Muar bersetuju menubuhkan parti baru. Muhammad dikatakan ikut dalam perjumpaan itu.

Bila parti baru itu ditubuhkan, dia tidak serta sebaliknya menyertai PKR. Tidak diketahui kegiatannya dalam PKR. Tetapi ketika Najib mulai tidak disenangi oleh akar umbi Umno, Mahathir dan Muhyiddin Yassin mulai membentuk parti baru, Muhammad pula kembali ke pangkuan Umno. Tidak banyak yang didengar apa bantuannya atas Umno. Dalam PRU14 tidak kedengaran.

Dan PRU Umno kalah, Harapan menang besar, PKR sebagai komponennya beraya besar di Selangor. Muhammad mewarisi Umno/BN hilang kuasa. Mulai ada Umno meninggalkan Umno, menjadikan dia betul-betul Abdul.

Bila kepimpinan Najib dan Umno ditakwil Muhyiddin dan Shafie Apdal, Najib buang mereka dari Umno. Najib pungut Dr. Salleh Keruak yang pernah jadi Ketua Menteri puluhan tahun lalu. Salleh adalah orang Umno yang terbiar. Ketika Shafie Apdal dibuang, Najib ambil Salleh jadi menteri pusat dan Bendahari Agung Umno.

Sebagai menteri dia bercakap banyak juga. Dalam PRU14 dia kalah, Umno Sabah kalah, Umno Malaysia kalah dan Najib tak jadai Perdana Menteri lagi dan tak jadi pemimin Umno/BN lagi. Berapa hari saja merasa jadi menteri? Itulah Abdul yang kedua.

Seorang cendekiawan dan agamawan berfikiran luas. Najib dikatakan terpesona mendengarnya bercakap. Dr. Asraf Wajidi. Anak Kelanan yang pintar ini tidak berpolitik bersama majoriti rakyat Kelantan. Hampir 50 tahun Kelantan di bawah PAS, dia lawan PAS.

Umno calonkan dia dalam PRU13. Kalah. Kalau dia masuk PAS tentu dia jadi orang penting PAS dan orang ada masa depan dalam politik. Walaupun dia anak orang Umno yang bukan calang-calang tetapi dia keturunan orang PAS sebelum bapanya dipujuk Tun Razak jadi Umno.

Dia orang yang tahu Islam tetapi memilih parti yang berlawan dengan PAS yang berjuang kerana Islam.

Ketika Najib mulai tenat, Najib jadikan dia ahli Majlis Tertinggi Umno dan jadikan pula timbalan menteri. Jadilah dicalon BN. Kalah. Umno kalah di Kelantan dan kalah di Putrajaya.

Berapa hari saja jadi menteri. Jika Umno tak pulih, macam mana?

Demikianlah kisah tiga Abdul Umno. – HARAKAHDAILY 20/5/2018