Muiz Lidiinillah pembuka Kota Kaherah

KAHERAH adalah sebuah bandar raya yang terkenal di dunia Islam sejak abad ke-10M kerana peranannya sebagai Pusat pentadbiran dan Pusat keilmuan Islam yang terkemuka sesudah Baghdad, Damsyik, Cardova dan Timbuktu pada zaman keagungan Islam itu.

Advertisement

Di Utara Afrika sendiri, kota-kota besar telah wujud lebih awal seperti Iskandariah, Qairuwan dan Fez yang menjadi Pusat-pusat pentadbiran kerajaan sejak zaman Rom hingga Kerajaan Idisiyah, Aghlabiyah dan Tuloniyah.

Sejarah pertumbuhan Islam di Mesir bermula dengan pembukaan oleh Amru bin al-As pada tahun 21H. Beliau mendirikan Kota Fustat sebagai Pusat pentadbiran, sebelum al-Hamra al-Qaswa dibangunkan pada zaman Abbasiyah.

Pada zaman al-Fadhl bin Soleh, didirikan Bandar al-Askar yang digabungkan dengan Fustat, selanjutkan Ahmad bin Tulon (868-884M) mengasaskan Bandar al-Qataie pada tahun 265H. Daulah Fatimiyah yang asalnya berpusat di Qairuwan telah memindahkan kerajaannya ke Mesir, dan Bandar Kaherah didirikan kerananya.

Pembinaan Kota Kaherah

Setelah berdirinya Daulah Fatimiyah pada 909M (296H), mereka telah berjaya menguasai Mesir pada 969M (358H) yang sebelumnya berada di bawah Kerajaan Ikhsidiyah.

Panglima Jauhar as-Siqilli yang membuka Mesir telah menjadi Gabenor wilayah ini hingga 972M. Beliau bertanggungjawab membangunkan bandar baru yang dinamakan sebagai Kaherah untuk dijadikan ibu kota yang baru Daulah Fatimiyah yang ketika ini dipimpin oleh Sultan al-Muiz Li Diinillah (953-975M) sebagai khalifah.

Pada asalnya, Kota Kaherah didirikan di atas tanah seluas 340 ekar dalam bentuk empat segi dengan setiap sisinya sepanjang 1,200 ela. Kota yang dibangunkan pada tahun 359H ini berfungsi sebagai Pusat pentadbiran baru menggantikan kota lama, Fustat.

Turut dibangunkan ialah Masjid al-Azhar sebagai keilmuan terulung yang kini dikenali sebagai Universiti al-Azhar. Kaherah juga berfungsi sebagai Pusat pengembangan pengaruh ideologi dan politik Fatimiyah di mana pengajian Syiah dikembangkan. Dan dari Kaherah juga Fatimiyah kemudiannya menguasai Palestin, Syam dan Hijaz.

Kaherah menjadi Pusat Tamadun

Setelah pembinaan Kota Kaherah berjaya dilaksanakan, Sultan al-Muiz Li Diinilah telah bergerak meninggalkan Qairuwan menuju ke Mesir dan tiba di kota ini pada 4 Ramadan 362 untuk memindahkan Ibu Kota Fatimiyah.

Keesokannya, beliau secara rasmi menjadikan Kaherah sebagai Pusat pentadbiran yang baru dan seluruh pentadbiran kerajaan dipindahkan. Sultan al-Muiz memperkenalkan sistem pentadbiran baru Fatimiyah menerusi pembentukan Diwan-diwan dan Wazir seperti Dewan Majlis, Dewan Nazar, Dewan Tahkik, Dewan Barid, Dewan Tartib, Dewan Kharaj dan lain-lain. Jawatan khusus seperti Qadhi, Ketua Dakwah, Inspektor Pasar, Bendahari Negara dan Qari diwujud untuk memperkasakan pentadbiran negara.

Selepas kejatuhan Fatimiyah pada 1171 (566H), Kaherah telah dikuasai oleh Dinasyi Ayubiyah (1172-1341) yang bertanggungjawab menukar fungsi Kaherah sebagai Pusat Mazhab Sunni, sebelum munculnya Dinasti Mamalik (1341-1517) yang menjadikan Kaherah sebagai Pusat pentadbiran baru Daulah Abbasiyah (1262-1517) setelah Baghdad diserang Hulagu Khan pada 1258.

Kaherah yang terkenal sebagai kota seribu menara ini telah melahirkan tokoh-tokoh ulamak dan cendikiawan Islam yang terkenal, dengan Universiti al-Azhar menjadi Pusat pendidikan Islam terulung. Walaupun kota ini pernah jatuh ke tangan Perancis dan British pada abad ke-19, namun ia tetap menjadi pintu kepada Tamadun Islam hingga hari ini.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
4 Ramadhan 1439 / 20 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 21/5/2018