Qadhi Shahnun pengukuh Sunni di Afriqiya

SEJAK kejatuhan Daulah Umayyah (61-132H), keadaan umat Islam di wilayah Afrika Utara (Afriqiya) menghadapi kemelut mazhab ilmu kalam yang hebat. Kemunculan kerajaan-kerajaan kecil yang berbeza aliran mazhab dengan Daulah Abbasiyah telah menyebabkan perpecahan umat.

Advertisement

Kebanyakkan kerajaan yang muncul di Afrika Utara bermula pertengahan abad ke-3 Hijriyah adalah tidak beraliran Sunni. Antara yang terkenal ialah Dinasti Idrisiyah (172-375H) yang beraliran Syiah Hassaniyah, Dinasti Bani Wasul atau Midrariyah (140-296H) yang menganut Khawarij Shufriyah dan Dinasti Rustumiyah (144-296H) yang mendukung Khawarij Ibadhiyah.

Kemunculan Daulah Ubaidiyah atau Fatimiyah (297-527H/910-1171M) di Qairuwan (Maghrib Ausat) telah melemahkan lagi aliran Sunni di Afrika Utara kerana daulah ini beraliran Syiah Ismailiyah. Satu-satunya kerajaan yang masih tunduk kepada Daulah Abbasiyah di Afrika Utara ialah Dinasti Aghlabiyah (184-296H) yang berpusat di Tripoli. Aghlabiyah masih menyebut nama Khalifah Abbasiyah dalam Khutbah Jumaat dan mata wangnya serta menganut Mazhab Sunni.

Dinasti Aghlabiyah: Kuasa politik Sunni yang terancam

Dinasti Aghlabiyah diasaskan oleh Ibrahim bin al-Aghlab pada tahun 800M, di mana beliau adalah seorang ulamak dan Ahli Fekah (faqih) yang pernah berguru dengan Imam al-Laits bin Saad, guru Imam Syafi’ie yang dikenali sebagai imam bagi penduduk Mesir.

Dengan latar belakang pendidikannya, Ibrahim al-Aghlab menjadikan Dinasti Aghlabiyah sebagai Kerajaan Sunni. Mereka juga kekal tunduk kepada Daulah Abbasiyah, walaupun wilayah sekitarnya, termasuk Andalusia tidak berbuat demikian. Khalifah Harun ar-Rasyid mengiktiraf Ibrahim al-Aghlab sebagai pemerintah wilayah Qairuwan sehingga berdirinya Dinasti Aghlabiyah ini.

Namun begitu, kerajaan Aghlabiyah menghadapi ancaman yang besar kerana kebanyakkan orang Barbar telah menjadi pengikut Syiah atau Khawarij selepas kejatuhan Daulah Umayyah. Kemunculan serentak empat dinasti di Afrika Utara iaitu Midrariyah (Khawarij Shufriyah), Rustumiyah (Khawarij Ibadhiyah) dan Idrisiyah (Syiah Hassaniyah) telah menyebabkan Aghlabiyah tersepit, sedangkan kedudukannya jauh dari kota Baghdad, Pusat Daulah Abbasiyah.

Pada zaman pemerintahan Abu Iqal al-Aghlab (223-226H), mereka terpaksa berhadapan dengan pemberontakan pelbagai suku Barbar yang beraliran Khawarij, sebelum munculnya minoriti Muktazilah pada zaman pemerintahan Abu Abbas Muhammad I (226-243H), kerana mazhab baru ini menjadi mazhab rasmi Daulah Abbasiyah di Baghdad.

Mengukuhkan pengaruh Sunni 

Dalam menghadapi konflik, pemberontakan dan persaingan mazhab ini, Abu Abbas Muhammad I telah melakukan satu transformasi besar berasaskan politik keagamaan dalam Dinasti Aghlabiyah, iaitu mengukuhkan kedudukan Mazhab Sunni. Selain mengawal minoriti Muktazilah, menangani pergolakan suku-suku Barbar Khawarij dan menyelesaikan pemberontakan Salim Ghalabun dan Umar at-Tujibi, beliau juga bertindak melantik Ketua Qadhi Aghlabiyah dari seorang tokoh ulamak Sunni yang terkenal.

Pelantikan al-Qadhi Shahnun bin Saad bin Habib at-Tanukhi al-Faqeh, seorang ulamak besar bermazhab Maliki pada 5 Ramadan 234H menjadi batu tanda bahawa dinasti ini berorientasikan Mazhab Sunni, walaupun kerajaan sekitarnya bermazhab Syiah dan Khawarij, sedangkan Daulah Abbasiyah sendiri bermazhab Muktazilah.

Kerana pengukuhan Sunni ini, selepas kejatuhan Idrisiyah pada 375H dan Fatimiyah pada 527H, Mazhab Maliki menjadi mazhab terbesar di Afrika Utara. Namun begitu, Dinasti Aghlabiyah juga akhirnya tumbang di tangan Daulah Fatimiyah pada tahun 296H.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
5 Ramadan 1439 / 21 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 21/5/2018