Geoeskatologi (6): Najd

NAJD dari segi bahasa merujuk kepada setiap tempat yang tinggi. Dari segi istilah, Najd merupakan kawasan yang berada di sebelah Timur Hijaz atau lebih tepatnya, Timur Madinah. Dahulunya dikenali sebagai al-Yamamah.

Advertisement

Najd yang dikenali dewasa ini merupakan sebahagian besar tengah kawasan Arab Saudi di Negeri Riyadh, selain Qasim dan sebahagian Hail dan Makkah. Riyadh merupakan Pusat Pemerintahan Arab Saudi, diambil bersempena penempatan asal Kabilah Bani Saud, pewaris kerajaan sekarang.

Walau bagaimanapun, terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam menentukan lokasi sebenar Najd. Khilaf berlaku kerana Hadis Nabi S.A.W:

اللهمَّ بَارِكْ لنا في شَامِنَا وفي يَمَنِنَا . قال : قالواْ : وفي نَجْدِنَا ؟ قال : قال :اللهمَّ بَارِكْ لنا في شَامِنَا وفي يَمَنِنَا . قال : قالوا : وفي نَجْدِنَا . ؟ قال : قال : هناكَ الزلازلُ والفِتَنُ ، وبها يطلُعُ قَرْنُ الشيطانِ .

“Ya Allah, berkatilah Syam dan Yaman kami. Sahabat bertanya, bagaimana pula dengan Najd kami? Nabi berkata Ya Allah, berkatilah Syam dan Yaman kami. Sahabat bertanya, bagaimana pula dengan Najd kami? Nabi berkata di sana bakal berlaku gempa dan ujian atau fitnah. Akan muncul tanduk atau era Syaitan.”

[HR Bukhari]

Kebanyakan ulamak Arab Saudi menafikan Najd yang dimaksud adalah Najd yang dikenali kini. Sebaliknya ia merujuk kepada Iraq. Ini berdasarkan beberapa Hadis yang lain yang menyebut khusus tentang Iraq. Dari segi bahasa juga, Najd turut merujuk kepada Iraq kerana kawasan tanahnya yang tinggi dari paras biasa.

Jika dilihat sejarah Riyadh dan Iraq, kedua-duanya pernah menimbulkan fitnah kepada umat. Khusus membahaskan Najd yang dikenali sekarang iaitu Riyadh, kawasan ini adalah penempatan beberapa kabilah seperti Bani Ghatafan, Bani Asad, Bani Tamim, Bani Hanifah dan Bani Ta’iy.

Kebanyakan kabilah di kawasan ini murtad setelah kewafatan Rasulullah S.A.W. Bahkan ramai Nabi palsu muncul daripada mereka seperti Musailamah al-Kazzab al-Hanafiah, Sajah al-Tamimiah dan Tulaihah bin Khuwailid al-Asadi. Menjadi fitnah pertama yang umat Islam hadapi selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.

Sebagaimana yang dinyatakan, Najd adalah tempat tinggal Kerajaan Bani Saud hari ini. Selepas rancangan British menghasut Arab membebaskan ikatan Islam daripada Uthmaniyah dicapai di Hejaz (1916) dan Najd (1921), berlaku pula pertembungan antara kerajaan Hejaz dan Najd yang akhirnya membawa penaklukan Najd ke atas Hejaz. Lalu ditubuhkan Kerajaan Arab Saudi (1932).

Dari Najd juga muncul gerakan ekstremis agama Wahhabi yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab al-Tamimi. Beliau asalnya merupakan seorang alim yang membentuk gerakan dakwah memerangi bidaah. Tetapi gerakan tersebut digunakan oleh Bani Saud bagi mencapai matlamat politik.

Selepas kematian Syeikh Muhammad, gerakan tersebut menjadi semakin radikal setelah dibekalkan dengan persenjataan bagi membantu Bani Saud menguasai kawasan-kawasan Najd hingga ke Iraq, Hejaz dan sekitar. Selepas Kerajaan Arab Saudi terbentuk, keturunan beliau menjadi pemimpin agama dan memakai gelaran al-Syaykh.

Bani Saud hari ini memberi wala’ sepenuhnya kepada kuasa Barat. Segala tindak tanduk mereka secara langsung mahupun tidak langsung memberi kelebihan kepada dasar luar US. Pertembungan Salafi-sufi, pertembungan Sunni-syiah, pembiayaan gerakan radikal di Syria dan Iraq, perjanjian ekonomi, politik dan ketenteraan, sistem petro-dollar, serangan ke atas Yaman, perseteruan dengan Qatar, dan terbaru penyebaran Fahaman Islam Liberal adalah antara ‘jasa’ negara ini buat umat Islam.

Tulisan ini tidaklah menyokong 100 peratua bahawa Riyadh adalah Najd yang dimaksudkan dalam Hadis Nabi. Ia kekal sebagai khilaf ulamak yang hanya diketahui oleh Allah S.W.T. Tetapi perkongsian ini lebih kepada membicarakan tentang Najd yang dikenali hari ini. Dalam siri akan datang, akan dibicarakan khusus mengenai Iraq pula.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
6 Ramadan 1439
22 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 22/5/2018