Pengepungan Amuriyah

PERSEKUTUAN antara kaum Musyrik dengan Ahli Kitab dalam memerangi Islam adalah lanjutan daripada perseteruan sejak zaman Rasulullah S.A.W. Pada zaman Daulah Abbasiyah (750-1517M), umat Islam juga berhadapan dengan perkara yang sama, di mana pada tahun 222H, seorang pemimpin Mazdak Parsi, Babak telah memberontak dan menguasai Azerbaijan. Khalifah al-Mu’tashim (218-227H) telah mengirimkan 250,000 tentera dipimpin oleh Panglima al-Afsyin untuk mengalahkan Babak.

Advertisement

Menyedari pasukannya hampir tewas, Babak telah meminta bantuan Kaisar Byzantine, Theofile (Tufail) untuk menjadi sekutunya bagi menewaskan Islam. Oleh kerana Babak terbunuh sebelum tentera Byzantine tiba, Theofile telah mengalih serangannya dan melanda Kota Zibathrah, lalu membunuh orang Islam termasuk wanita dan kanak-kanak pada tahun 223H. Ibnu Khaldun mencatatkan peristiwa ini di mana wanita-wanita menyebut nama khalifah untuk meminta bantuan.

Al-Mu’thasim bertindak balas

Khalifah al-Mu’thasim atau nama sebenarnya, Muhammad bin Harun ar-Rasyid (179-227H) adalah khalifah ke-8 Daulah Abbasiyah sesudah al-Makmum dan merupakan salah seorang khalifah terbesar daulah ini. Beliau pernah menjadi Gabenor Syam pada zaman saudaranya, al-Makmum. Beliau bertanggungjawab membuka kota Samarra dan membawa masuk tentera Turki ke dalam pasukan Abbasiyah sehingga orang Turki menjadi sangat berpengaruh dalam Daulah Abbasiyah kemudiannya. Salah seorang Panglima Turki yang terkenal ialah Haidar bin Kaus yang terkenal sebagai al-Afsyin itu. Beliau merupakan salah seorang dari tiga Panglima yang mengepung kota Amuriyah.

Menurut Ibnu Khaldun, berita seorang perempuan Bani Hashim yang berteriak meminta bantuan Khalifah Abbasiyah dengan menyebut nama al-Mu’thasim ketika dia ditawan oleh tentera Byzantine telah sampai ke pengetahuan Khalifah al-Mu’thasim. Ketika itu Baginda sedang berada di atas ranjangnya, langsung bangun dan berkata, “Kami penuhi permintaanmu yang meminta tolong.” Lalu beliau memerintahkan ketumbukan tentera digerakkan untuk membebaskan wanita tadi yang dianggap maruah bagi umat.

Pengepungan Amuriyah dan penebusan maruah umat

Ketika mula bergerak menuju Tsughur untuk memerangi Theofile, Khalifah al-Mu’thasim bertanya mengenai Kota Byzantine yang paling kukuh, lalu diberitahu mengenai Kota Amuriyah yang tidak pernah dimasuki oleh orang Islam, bahkan ia menjadi jantung Kristian yang lebih agung dari Constantinople. Lalu mereka bergerak ke Kota Amuriyah bagi maksud tersebut. Setelah tiba di kota tersebut, perang pun dikobarkan walaupun sebenarnya Khalifah al-Mu’thasim hanya membawa 15,000 tentera berkuda, berbanding 200,000 tentera Byzantine.

Saat perang mula tercetus, menurut Hamka, seorang tukang tenung melarangnya berperang kerana tentera Islam akan kalah. Tidak mempedulikan ramalan tersebut, beliau terus mengepung kota Amuriyah. Pengepungan ke atas kota Kristian ini berlaku pada 6 Ramadan 223H. Pengepungan ini berlaku selama 55 hari sehingga akhir Syawal 223H, di mana akhirnya kota Amuriyah berjaya ditawan, Kaisar Thoefile mengaku kalah dan perempuan Bani Hasyim tersebut dapat dibebaskan. Sejak dari itu, Kota Amuriyah jatuh ke tangan Islam.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
6 Ramadan 1439H / 22 Mei 2018M – HARAKAHDAILY 22/5/2018